Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemuda PAS jumpa penganjur, mahu nama Miss/Mrs Plus ditukar

Isu nama acara Miss/Mrs Plus Malaysia (MPWM 2020) antara dibangkitkan oleh Pemuda PAS dalam pertemuan dengan penganjur acara ratu cantik untuk wanita berbadan besar itu.

Pengarah Eksekutif Nasional MPWM 2020, Ziinine AS Britshi berkata Pemuda PAS mencadangkan penukaran nama atas alasan terdapat fatwa mengharamkan orang Islam menyertai acara ratu cantik.

Katanya, cadangan itu dikemukakan atas alasan MPWM 2020 turut mengeketengahkan 10 finalis beragama Islam.

“Kami dimaklumkan bahawa berdasarkan fatwa, umat Islam di negara ini diharamkan daripada menyertai sebarang pertandingan ratu cantik.

“Justeru, kami perlu merujuk pihak berwajib bagi menyelesaikan isu berbangkit sebelum berlangsungnya acara kemuncak MPWM 2020 yang dijadual berlangsung 2 Jan depan.

“Tunggu perkembangan terbaru daripada kami selepas pertemuan dengan pihak kementerian. Mungkin acara akan diteruskan tapi selepas menukar nama pertandingan kepada yang baru,” katanya kepada Malaysiakini.

Ziinine berkata sayap parti berkenaan juga sedang cuba mengaturkan pertemuan penganjur dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) dalam masa terdekat.

Katanya mereka disarankan menggunakan nama seperti Malaysia Plus World Icon berbanding Miss atau Mrs Plus.

“Jika tidak, MPWM 2020 mungkin terpaksa menggugurkan finalis yang turut terdiri daripada peserta Muslim,” katanya.

KPWKM diketuai oleh Rina Mohd Harun dan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga ahli parlimen dan pemimpin wanita PAS.

Ziinine berkata pertemuan semalam berlangsung kira-kira tiga jam di sebuah hotel di Putrajaya.

MPWM 2020 diwakili oleh Suraya Godwinson manakala Pemuda PAS pula diketuai oleh setiausaha Pemudanya Akram Ikrami Taib Azamudden.

PAS kelmarin mendesak supaya program pada 2 Januari depan dibatalkan dan menyifatkannya sebagai “program berunsur kemaksiatan”, mempunyai unsur 'hedonisme' dan boleh merosakkan masyarakat.

Pada 19 Dis lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pimpinan pemimpin PAS Nasrudin Hassan juga membantah pertandingan itu dan akan menghantar memorandum bantahan kepada penganjur dan pihak berkuasa tempatan.

Penganjur sebelum ini mempertahankan acara itu bertujuan meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan dan keyakinan wanita bersaiz besar.

Mereka juga berkata pertandingan mereka tidak melibatkan pertunjukan bikini atau pakaian renang, mahupun menumpukan kepada hal yang remeh-temeh.

Seorang peserta yang beragama Islam Jastina Mohd Junus yang bertudung malah berkata tiada paksaan untuk mereka membuka aurat atau memperagakan bentuk tubuh.

Sementara itu, dalam video disiarkan di media sosial Harakahdaily, Akram berkata mereka turut mencadangkan penganjur merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dia menegaskan PAS sentiasa melayan wanita secara sama rata tidak kira bangsa, agama dan gender.

Daripada ribuan calon yang menyertai uji bakat pada 27 Okt lalu, seramai 24 orang terpilih menjadi finalis untuk dua kategori berbeza dalam Miss Plus dan Mrs Plus.

Dua daripadanya menarik diri.

Seramai 10 finalis - empat Miss Plus dan enam Mrs Plus - terdiri daripada peserta beragama Islam.

Pemenang akan mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat bagi pertandingan Miss Plus World Finals 2020-2021 pada peringkat antarabangsa.

Menurut Ziinine, MPWM 2020 memerlukan penyertaan berbilang bangsa dan agama kerana ia sebuah acara yang menjurus ke arah kemanusiaan, persaudaraan, dan memperkasa wanita.

“Kami berjuang untuk semua wanita negara ini yang bersaiz besar termasuk mereka yang Muslim untuk mempunyai peluang sama adil,” katanya.

Lihat Komen
ADS