Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yadim bantah acara ratu cantik, akan hantar memo pada penganjur
Diterbitkan:  Dec 19, 2020 3:23 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah penganjuran pertandingan ratu cantik Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang dijadual berlangsung di ibu kota pada 2 Januari depan.

Menurut Yang di-Pertua Yadim, Nasrudin Hassan berkata, bagi menyuarakan bantahan itu, yayasan itu akan menghantar memo bantahan kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan minggu depan.

“... (Memo bantahan) sebagai bukti komitmen badan dakwah ini menentang sebarang penganjuran program yang tidak bermanfaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasruddin

Nasrudin yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS berkata, penganjuran program seperti itu akan memberi isyarat salah kepada rakyat, seolah-olah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merestui penganjuran program sedemikian.

“Sedangkan umum mengetahui sikap kerajaan terutamanya perdana menteri yang amat serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak dan adab yang terpuji,” katanya lagi.

Dia turut menyifatkan dalam suasana wabak Covid-19 yang melanda negara kini, sebarang bentuk perhimpunan yang tidak mendesak harus dielakkan walaupun penganjur memberi jaminan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Selain itu, Nasrudin menyifatkan program seperti itu tidak pernah dibenarkan mana-mana agama terutamanya Islam kerana bersifat eksploitasi kepada wanita dan menyuburkan budaya hedonistik.

“Yadim meyakini bahawa majoriti rakyat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada membawa manfaat kepada rakyat terbanyak bahkan mengundang kemurkaan Allah,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS