Malaysiakini
BERITA

Khalid akui Amanah terajui idea gabungan besar pembangkang

Diterbitkan

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad memberikan bayangan bahawa gabungan besar pembangkang yang sering diuar-uarkan sejak akhir-akhir ini oleh sebahagian pemimpin pembangkang, akan tetap diterajui oleh PH sebagai ketua.

Menerangkan mengenai gabungan besar itu, akui Khalid, idea itu sememangnya diterajui oleh Amanah bagi membentuk pasukan pembangkang yang kuat untuk berhadapan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN), mahupun Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bagaimanapun, jelasnya, idea itu harus terlebih dahulu diterima dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akan diadakan nanti.

Katanya, dalam mesyuarat itu nanti, Amanah akan mempertegaskan kepada rakan-rakan di dalam PH bahawa seramai 108 ahli parlimen di blok pembangkang ini merupakan golongan yang setia dalam saf bagi menentang PN.

“Dari segi strukturnya, saya kira tak perlu ada pindaan yang banyak, yang terpenting PH sebagai yang mengetuai kerana kita ada 92 kerusi parlimen bersama kami.

“Parti-parti pembangkang lain, sama ada mereka mahu menyertai PH atau sebagai PH Plus.

“Kalau PH Plus sekalipun, kita akan tetap mengadakan mesyuarat bersama dan presiden parti-parti yang lain akan dapat memberikan pandangan dan cadangan cara hendak hadapi PN dan sebagainya,” katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media khas Konvensyen Amanah Nasional 2020 menerusi aplikasi Zoom.

Katanya lagi, DAP dan PKR pada dasarnya telah bersetuju untuk meluaskan kerjasama dengan parti-parti pembangkang yang bukan saja dapat membantu menghadapi PRU-15, bahkan dapat menambah keberkesanan pembangkang dalam parlimen.

“Kita boleh duduk semeja, boleh berbincang dengan semua pimpinan dan semua parti pembangkang boleh rangka satu strategi yang lebih berkesan,” katanya.

Cadangan gabungan pembangkang besar semakin kedengaran sejak akhir-akhir ini selepas sesi undian belanjawan berakhir, yang menyaksikan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dari PKR, gagal membuktikan dakwaannya bahawa dia mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Antaranya, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa satu pelarasan semula (reset) politik dilakukan bagi menyatukan pihak pembangkang.

Beberapa tokoh PH lain turut mengangkat idea gabungan besar pembangkang, namun terdapat juga suara daripada PKR yang tidak bersetuju cadangan itu.

Mereka mempertikaikan pihak dalam PH yang idea itu, menyoal jika persefahaman yang telah dipersetujui bersama sebelum ini akan turut disemak semula.

Antaranya, kata mereka mengenai usaha mengangkat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Anwar pula berkata Majlis Presiden PH akan berbincang hal itu, meskipun tarikh mesyuaratnya masih belum ditetapkan buat masa ini. 

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.