Pihak bukan Islam diminta jangan prejudis
Pemuda PAS dan beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan berharap orang bukan Islam tidak prejudis terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada empat buah negeri supaya menggubal segera undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain terhadap orang Islam.
Pemuda PAS dan beberapa pertubuhan Islam bukan kerajaan berharap orang bukan Islam tidak prejudis terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada empat buah negeri supaya menggubal segera undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain terhadap orang Islam.
Keempat-empat negeri berkenaan ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Menurut mereka, kenyataan Perdana Menteri itu bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama tetapi hanya satu tindakan untuk melindungi akidah umat Islam.
Pemuda PAS yang menyokong penuh gesaan Perdana Menteri itu, mahu semua pihak menerima undang-undang berkenaan dengan hati terbuka kerana ia menyentuh kepentingan umat Islam sahaja.
"Orang bukan Islam tidak perlu prejudis dengan kata-kata Pak Lah itu. Ia bukan bertujuan menghalang kebebasan beragama tetapi hanya mahu menyekat percubaan memurtadkan umat Islam,"tegas Naib Ketuanya, Mazlan Alimin.
Beliau juga berharap pihak berkuasa agama dan perundangan di keempat-empat negeri berkenaan bertindak segera menggubal undang-undang atau enakmen tersebut.
"Diharapkan keempat-empat negeri itu dapat menyelaraskan undang-undang berkenaan dengan sembilan negari yang telahpun mepunyai enakmen tersebut," tambahnya.
Tepat pasa masanya
Menurut Mazlan lagi, sepatutnya sudah lama kerajaan Pusat mengarahkan undang-undang tersebut diselaraskan di semua negeri, bukan sekarang, setelah kedudukan Islam di negara ini dicabar pelbagai pihak.
Semalam ketika bercakap dalam sidang media di Bachok, Kelantan, Perdana Menteri mahu keempat-empat negeri yang belum menggubal undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain terhadap orang Islam menggubal, supaya berbuat demikian selari dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada negeri-negeri memelihara akidah umat Islam.
Perkara 11 (4) itu memperuntukkan "Undang-undang negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama untuk orang yang menganuti agama Islam".
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pula menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu bertepatan dengan keperihatinan yang sedang dizahirkan oleh umat Islam Malaysia dalam isu tersebut.
Presidennya, Yusri Mohmamad berharap negeri-negeri berkenaan supaya segera melaksanakan arahan Abdullah itu berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4).
"Abim turut menggesa negeri-negeri yang telah mempunyai undang-undang berkenaan supaya mengambil langkah penguatkuasaan dengan segera.
"Adalah malang jika peruntukan undang-undang sedia ada tidak dimanafaatkan dan digunakan sedangkan terdapat keperluan untuk berbuat demikian,"tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
'Ambil kesempatan'
Abim juga mahu langkah pendidikan kesedaran tentang undang-undang ini dibuat supaya semua pihak memahami dan menyedarinya.
Manakala Teras Pengupayaan Melayu (Teras) pula berpendapat, dengan wujudnya undang-undang menghalang penyebaran agama di seluruh negara kelak, maka tiada lagi pihak yang mengambil kesempatan untuk memurtadkan umat Islam.
Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid berkata, selama ini ada pihak mengambil kesempatan daripada ketiadaan enakmen berkenaan di keempat-empat negeri tersebut.
"Mereka berselindung di sebalik pelbagai cara seperti aktiviti kebajikan, pendidikan, kaunseling dan penerbitan.
"Pihak berkuasa mesti menyiasat aktiviti ini kerana ia menimbulkan keresahan umat Islam,"tambahnya.
Azmi berharap, pihak berkuasa agama seperti mufti, Jabatan agama Islam negeri, Mahkamah Syariah dan Jabatan Peguam Negara, dapat duduk berbincang bagi melaksanakan segera arahan Perdana Menteri itu.
Beliau juga berharap bukan Islam menghormati peruntukan Perkara 11 (4) dan tidak lagi menggunakan alasan kebebasan beragama dan hak asasi manusia dalam isu-isu isu yang membabitkan soal agama.

