Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjanjian vaksin perlu dilakukan secara terbuka - Dr M

Perjanjian kerajaan dengan syarikat farmaseutikal bagi mendapatkan vaksin Covid-19 perlu dilakukan secara terbuka, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada wartawan hari ini, bekas perdana menteri itu berkata langkah merahsiakan perjanjian itu tidak boleh diterima, terutama apabila melibatkan sejumlah besar wang rakyat.

"Segala-galanya perlu dilakukan secara terbuka, ini yang telah kita janjikan.

"Ini NDA (Perjanjian Tanpa Pendedahan) tetapi secara rahsia tak boleh diterima.

"Kita perlu tahu segala yang berlaku dalam government apabila wang government banyak digunakan," katanya pada sidang media hari ini.

Sidang media itu diadakan pada majlis Amanat Perjuangan anjuran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Shah Alam hari ini.

Mahathir menjawab pertanyaan media mengenai NDA yang dikenakan oleh syarikat farmasi dalam perjanjian mereka dengan kerajaan di seluruh dunia bagi membekalkan vaksin.

Malaysia memeterai perjanjian dengan tiga syarikat bagi mendapatkan vaksin berkenaan, manakala rundingan dengan tiga lagi syarikat kini dalam peringkat akhir.

Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk tujuan itu, namun enggan mendedahkan syarat-syarat perjanjian dengan orang ramai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada 23 Dis lalu menyebut NDA menghalangnya untuk mendedahkan harga yang perlu dibayar kerajaan bagi mendapatkan vaksin daripada salah sebuah syarikat.

“Saya nak jadi setelus yang boleh. Saya hendak beritahu rakyat Malaysia bahawa saya gembira dengan harga yang kita dapat dari Pfizer, jika saya boleh bercakap tentang harga itu sekarang.

“Meskipun berdasarkan pendedahan harga vaksin itu kepada EU, saya sudah amat senang dengan harga (yang diperoleh ketika ini) dan itu juga sudah memadai. Saya hampir melanggar perjanjian kerahsiaan (ditandatangani antara Malaysia dan Pfizer)," katanya.

Lihat Komen
ADS