Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ekonomi antara faktor perjanjian HSR dengan S'pura ditamatkan
Diterbitkan:  Jan 1, 2021 2:24 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Kesan penularan Covid-19 yang menjejaskan ekonomi menyebabkan perjanjian dua hala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) terpaksa ditamatkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Menurut Mustapa Mohamed terma-terma perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 2016 tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan teruk kepada ekonomi, sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan bersama mengumumkan projek tersebut terpaksa ditamatkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia ingin membuat perubahan pada landasan kereta api dan ia dibincangkan kedua-dua negara yang akhirnya membawa keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut

Mustapa berkata, sejak akhir 2018 beberapa alternatif dibuat oleh kerajaan Malaysia bagi mengurangkan kos keseluruhan projek tersebut dan ia semakin menjadi keutamaan apabila Covid-19 melanda.

“Lanjutan daripada itu, bermula pertengahan 2020 lalu Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek ini.

“Cadangan-cadangan tersebut termasuklah perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen,” katanya.

Jelas Mustapa, struktur projek asal memerlukan jumlah jaminan kerajaan (government guarantees) yang besar dan untuk tempoh panjang.

Luput akhir Disember

Cadangan struktur projek yang baru pula katanya akan memberikan kerajaan fleksibiliti membuat pilihan pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah.

“Lebih penting lagi, cadangan perubahan struktur projek ini dijangka dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Berdasarkan cadangan baru yang dikemukakan, projek ini akan dimulakan pembinaannya dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal.

“Ini akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata selepas mengambil kira perubahan-perubahan tersebut, kedua-dua negara mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan lalu bagi memperjelaskan pendirian masing-masing bahawa tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan berkenaan.

“Dengan itu, perjanjian dua hala berkenaan Projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura luput pada 31 Dis 2020.

“Malaysia akan menghormati terma-terma perjanjian dua hala. Kedua-dua negara akan mengambil tindakan yang perlu untuk menentukan jumlah pampasan,” katanya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan bersama kedua-dua kerajaan tersebut tidak menyatakan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Putrajaya kepada Singapura.

The Edge Markets sebelum ini melaporkan yang penamatan itu boleh menyebabkan Malaysia menanggung kos kira-kira RM300 juta.

Mustapa berkata kerajaan juga akan melaksanakan kajian terperinci yang akan meliputi kesemua pilihan termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

Dia turut menegaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuhkan demi faedah bersama.

Lihat Komen
ADS