Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiba masa untuk PH lupakan Dr M, kata AMK
Diterbitkan:  Jan 1, 2021 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berpandangan PH untuk bergerak ke hadapan dan bukan cuba menghidupkan semula kerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya.

Ia susulan kenyataan Mahathir semalam yang mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim yang gagal membuktikan dakwaannya pada September lalu bahawa dia ada majoriti yang "kukuh dan meyakinkan" untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Akmal yang turut mempunyai pandangan kritikal terhadap pengumuman Anwar tersebut, mengkritik Mahathir kerana menjadikan acara untuk menerangkan hala tuju Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada "platform untuk menyerang Anwar".

"Sikap Mahathir menunjukkan seolah-olah kewujudan Pejuang hanya untuk menafikan kewibawaan Anwar sebagai ketua pembangkang dan pengerusi PH," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan desakan daripada parti komponen PH berhubung kerjasama dengan Mahathir, kata Akmal lagi, Anwar telah mengendurkan pendiriannya dengan berkata sanggup untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi prinsip PH diikuti.

Bagaimanapun, katanya lagi, Mahathir memutuskan untuk menyerang Anwar dua hari kemudian.

"Mahathir sewajarnya bermuhasabah atas sikapnya yang sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang PRU14.

"Kami juga merasakan telah tiba masanya untuk PH ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Mahathir.

"PH perlu sedar bahawa penglibatan Mahathir yang cuba menunggang jenama 'grand coalition' hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering dia gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.

"Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan PKR dan PH," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS