Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tak mahu terlibat polemik, gesa sekutu berlapang dada
Diterbitkan:  Jan 3, 2021 2:00 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

PAS enggan terlibat dalam perselisihan antara rakan sekutu dan sebaliknya menyeru mereka saling berlapang dada.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya percaya hanya perpaduan yang utuh dapat membawa kepada pembangunan negara yang bersatu padu.

"PAS tidak mahu terlibat mahupun dilibatkan dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan yang sekaligus mengundang kepada ketidakstabilan, ancaman terhadap keamanan dan kehidupan ekonomi rakyat.

"Justeru PAS bertekad memperkasakan Gagasan Muafakat Nasional (MN) di samping mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Maka PAS menyeru rakan-rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar dari peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepimpinan yang baik dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Bersatu galak 'mencuri' dan 'membeli' ahli Umno.

Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, menuntut permohonan maaf malah mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Asyraf susulan dakwaan tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Takiyuddin berkata PAS turut berpandangan semua pihak dalam gabungan kerajaan perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pentadbiran negara.

“Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional, dikuti menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

“PAS berpandangan semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara terutama di zaman dunia umumnya berada dalam keadaan yang amat sukar,” kata Takiyuddin lagi.

Lihat Komen
ADS