Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno sasar tanding tak kurang 96 kerusi Parlimen pada PRU15

Umno menyasarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi Parlimen pada PRU15 setelah mengambil kira rundingan dengan parti komponen dalam BN (BN), PAS dan Bersatu.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata berdasarkan formula awal perundingan, Umno juga akan terus kekal dengan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU14 lepas.

“Kerusi kepada Umno, itu kerusi yang kita susun atur, yang kita menang dan dapat nombor dua (tertinggi undi) (pada PRU14). Kita juga dapati ada kerusi rakan-rakan BN yang mereka tak pernah menang, kerana pengundi di situ mahu calon Melayu, misalnya.

"Secara dasarnya, komponen BN pun bersetuju (isu pembahagian kerusi). Dalam PRU15, kita nak menang, mesti menang untuk tubuhkan kerajaan bukan kerusi untuk bermegah-megah. Kita mesti teliti setiap kerusi, geopolitik, corak pengundi dan lokaliti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rembau hari ini.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman yang mengatakan Umno hanya akan bekerjasama dengan PAS tanpa membabitkan Bersatu dalam PRU15, Mohamad yang juga Ketua Umno Bahagian Rembau berkata sebarang keputusan adalah berdasarkan keputusan parti.

“Itu hak dia (Tajuddin) untuk bercakap, bukan keputusan parti lagi. Untuk keputusan parti boleh bawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung Umno akan datang,” katanya.

Ditanya susulan keputusan beberapa Umno Bahagian yang menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15, Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi bagi Umno berkata parti itu terlebih dahulu perlu membina kekuatannya sendiri tanpa perlu menolak kerjasama berkenaan.

Sementara itu, mengenai kenyataan Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang berpendapat UMNO tidak boleh bergerak secara solo, Mohamad berkata parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jangan kata kita kalau bersendirian kita tidak boleh menang...selama ini pun kita berseorangan juga, namun pada PRU14 lepas, kita ada buat kesilapan sedikit. Tetapi kalau ada kerjasama lagi baik, kalau tiada kerjasama pun yang penting kita perkasakan diri sendiri dan parti,” jelasnya.

Annuar pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh semalam menegaskan parti itu tidak boleh 'bersendirian' dalam arena politik sekiranya ingin memperoleh kejayaan dalam PRU15, kerana bergerak secara solo bukanlah satu formula kemenangan kepada parti itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS