Kenduri kesyukuran rai Dr M di Kedah esok
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'pulang' ke Kedah esok untuk bertemu 'orang kampungnya'.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad 'pulang' ke Kedah esok untuk bertemu 'orang kampungnya'.
Beliau akan menyampaikan ceramah bertajuk "Cabaran Pembangunan Ummah di Hotel Star City, Alor Star pada jam 2.30 petang. Pada sebelah malamnya pula, Dr Mahathir dijadualkan menghadiri masjlis kenduri kesyukuran di sebuah masjid di bandar tersebut.
Ini adalah pertemuan pertama beliau dengan rakyat Kedah sejak meletus konflik antaranya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kunjungan Dr Mahathir ke negeri kelahirannya itu dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, sebuah pertubuhan perdagangan orang Melayu yang dianggotai oleh peniaga dan usahawan dari pelbagai latarbelakang dan fahaman politik.
Dewan ini dipengerusikan oleh, rakan kharib Dr Mahathir, Tan Sri Abdul Khalid Abdullah. Lebih 300 orang dijangka menghadiri majlis tersebut.
Kurang publisiti
Khalid adalah bekas Pengerusi Kumpulan akhbar Utusan Melayu pada era pentadbiran Dr Mahathir.
Bekas Perdana Menteri itu dijangka membangkitkan semula beberapa persoalan yang telah dibangkitkannya sebelum ini di dalam ceramahnya itu bagi mendapatkan jawapan sebenar dari pentadbiran Abdullah.
Kunjungan Dr Mahathir ke Kedah ini bagaimanapun tidak mendapat publisiti meluas kerana tidak melibatkan Umno.
Sebelum ini, majlis ceramah Dr Mahathir di Padang Besar yang dijadualkan pada 26 Ogos ini telah mendapat publisiti meluas apabila ia dibatalkan ekoran kegagalan mendapat permit polis dan ketiadaan tempat untuk menganjurkannya.
Majlis di Perlis itu anjuran Umno bahagian Padang Besar. Dr Mahathir dipelawa berceramah sehari sebelum berlangsungnya mesyuarat Umno bahagian berkenaan pada 27 Ogos ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.