Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno Terengganu ulang pendirian tak bersama PAS dalam PRU15
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 8:18 AM
Dikemaskini: Feb 26, 2021 4:25 AM

Umno Terengganu sekali lagi menyuarakan pendirian untuk tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU15.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, pengerusinya Ahmad Said juga akan merampas semula kerusi yang dimenangi Umno pada PRU lalu yang kini dipegang Bersatu, pada PRU akan datang.

Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Kemaman pada Sabtu, dia berkata Umno akan bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN di Terengganu.

"Umno juga akan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu pada PRU15 kerana kerusi itu sebelum ini merupakan kerusi tradisi milik Umno.

"Kita mahu ambil semula kerusi yang telah 'lompat' dan siapa yang mahu bertanding di situ perlu lawan dengan kita," katanya seperti dipetik.

Turut hadir di majlis itu adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek, yang merupakan bekas anggota Parlimen Kemaman.

Sinar Harian turut melaporkan lapan bahagian Umno Terengganu telah meluluskan usul menolak kerjasama dengan PAS.

Usul itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Usul Umno dalam masa terdekat, kata Badan Penerangan Umno Terengganu.

Terdahulu hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa 143 dari 191 bahagian Umno (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.

Sementara itu, pemimpin parti dari Melaka, Perak, Kelantan, dan Pahang, menyatakan hasrat untuk merebut kembali kerusi yang dipegang anggota Parlimen yang telah berpaling tadah kepada Bersatu.

Pergeseran antara Umno dan PAS di Terengganu timbul susulan dakwaan yang Adun Umno tidak menerima peruntukan Covid-19 daripada pentadbiran PAS.

Ketika itu, Ahmad juga berkata kerajaan negeri tidak membahagikan peruntukan RM10 juta yang diberi kerajaan Pusat secara sama rata kepada Adun PAS dan Umno.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, Ahmad berkata isu itu selesai selepas pertemuan dibuat dengan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, pada Julai lalu, Ahmad berkata Umno akan meletakkan calon di semua kerusi - iaitu lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN - pada PRU15.

Ia selepas PAS mengatakan akan bertanding di enam kerusi Parlimen dan mempertahankan 22 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU14.

Dalam ucapannya semalam, Ahmad sekali lagi membangkitkan isu pengagihan peruntukan daripada kerajaan Pusat.

“Saya bandingkan cara agihan yang diberikan kerajaan Pahang dan Perlis yang diterajui BN. Mereka mengagihkan sama rata sama ada wakil rakyat UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebagainya kerana ia melibatkan hak rakyat.

“Tapi sini wakil rakyat UMNO hanya dapat peruntukan RM45,000 berbanding wakil rakyat Pas sebanyak RM350,000 dan RM305,000 kepada Pejabat Penyelaras DUN yang dikendalikan Pas," katanya seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS