Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MBJB: Papan iklan unsur 'komunisme’ gambar lama
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan bahawa gambar tular yang memaparkan unsur komunisme pada papan iklan di sebuah premis makanan merupakan gambar lama dan papan iklan berkenaan telah diturunkan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, MBJB menjelaskan bahawa premis di Taman Mount Austin, Johor Bahru itu diperiksa pertama kali pada 29 Disember 2019.

“Hasil pemeriksaan pada tarikh berkenaan mendapati bahawa terdapat dua buah papan iklan premis perniagaan di mana sebuah papan iklan premis telah mendapat kelulusan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala sebuah lagi papan iklan premis adalah merupakan iklan tambahan dan tiada kelulusan dari MBJB.

“Oleh itu, papan iklan tambahan tersebut telah dinotiskan di bawah UUK Pelesenan Iklan (MBJB) 2010, 7(1) iaitu iklan tidak mempunyai lesen yang sah daripada MBJB.

"Pada 12 November 2020, hasil pemantauan susulan mendapati papan iklan premis perniagaan yang telah dinotiskan masih tidak dipatuhi oleh pemilik premis. Sehubungan ini, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan MBJB dengan membuka dan menyita papan iklan tersebut,” kata pegawai bahagian korporat dan perhubungan awam MBJB dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, notis pematuhan papan iklan turut dikeluarkan oleh Jabatan Pelesenan MBJB pada 9 Disember 2020 iaitu di bawah UUK Pelesenan Iklan (MBJB) 2010, 20 (g) iaitu iklan yang tidak melambangkan budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia.

MBJB turut menambah, hasil pemantauan mendapati pemilik premis telah menurunkan papan iklan tersebut dan menggantikan ia dengan iklan yang diluluskan oleh DBP.

“Pemeriksaan juga mendapati bahawa premis perniagaan tersebut tidak beroperasi dan sedang dalam proses ubah suai serta tiada iklan-iklan berbentuk komunis dan seumpamanya didapati di dalam premis.

“Gambar-gambar yang telah tular di media sosial baru-baru ini adalah merupakan gambar lama premis berkenaan sebelum proses ubahsuai dijalankan oleh pemilik premis.

“MBJB ingin menegaskan kepada semua pemilik premis perniagaan agar setiap papan tanda dan iklan yang ingin dinaikkan perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk melepasi tapisan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

MBJB turut menggesa penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat atau aduan kepada MBJB sekiranya terdapat lainlain paparan yang berunsurkan komunisme atau perkara mengundang sensitiviti masyarakat di dalam kawasan MBJB agar tindakan segera dapat diambil.

“Warga bandar raya Johor Bahru juga diingatkan agar dapat bersama-sama memelihara suasana keharmonian dengan mengelakkan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma budaya masyarakat negara ini, mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa serta menghayati prinsip-prinsip di dalam Rukun Negara dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.

Sebelum ini, pihak berkuasa di Pulau Pinang menyerbu restoran Xiang Ge Li La Authentic Hunan di Bukit Mertajam, kerana didakwa memaparkan imej pemimpin komunis pada kertas hias dindingnya.

Pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Joey, mengakui karya seni itu menyerupai poster propaganda komunis, namun menegaskan tulisan pada kertas hias dinding itu merupakan jenaka berkenaan makanan dan bukan mempromosikan komunisme.

Lihat Komen
ADS