Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilik restoran dakwa karya seni tema komunis berbentuk 'humor'

Polis semalam menyerbu sebuah restoran di Bukit Mertajam, Pulau PInang kerana didakwa memaparkan imej pemimpin komunis.

Pada masa yang sama seorang pemimpin Umno mendakwa perbuatan itu membuktikan ideologi berkenaan kini berkembang di Pulau Pinang.

Bercakap kepada Malaysiakini, pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Joey, mengakui karya seni itu menyerupai poster propaganda komunis, namun menegaskan tulisannya bukan mempromosikan komunisme.

Sebaliknya, Joey itu berkata, tulisan Cina yang dipaparkan adalah slogan humor mengenai masakan.

"Tulisan ini bukan mengenai mempromosikan komunisme, bahkan tidak menyentuh topik komunisme. Isinya adalah mengenai makanan dan restoran kami," kata pemilik restoran berusia 35 tahun itu.

Di antara slogan tersebut berbunyi: "Selamat datang tetamu yang dikasihi. Rasanya hebat! Saya sangat menyukainya. Silakan datang lagi, tetamu yang dikasihi,".

Slogan lain pula berbunyi: "Banyak faedah setelah berbelanja di kedai kami - hubungan romantis anda akan berjaya dan anda akan lulus peperiksaan kemasukan".

Karya seni itu memaparkan karikatur pemimpin komunis dan pengasas China moden, Mao Tse Tung serta karikatur tentera dengan pakaian seragam komunis.

Karikatur berkenaan dipaparkan membawa sepanduk dengan tulisan Cina yang bermaksud "peminat makanan" dan "resipi".

Joey dilahirkan dan dibesarkan di Hunan, China.

Dia berkahwin dengan rakyat Malaysia dan memulakan perniagaan restoran bersama pada tahun 2016 di Pulau Pinang.

Restoran, Xiang Ge Li La Authentic Hunan itu menyajikan makanan dari tempat kelahiran Joey.

Dia mendakwa reka bentuknya diilhamkan berdasarkan sebuah restoran serupa di China dan berpendapat ia boleh menjadi tarikan untuk gambar di media sosial.

"Ketika saya pertama kali melihat reka bentuk seperti ini, saya merasa menarik dan lucu dan menganggap ia akan menarik pelanggan (untuk mengambil gambar dan memuatnaik dalam talian).

"Ketika saya memulakan perniagaan saya sendiri, saya memutuskan untuk menggunakannya sebagai tema tetapi saya tidak menyangka saya akan menghadapi masalah undang-undang empat tahun kemudian," tambahnya.

Bahan komunis dilarang

Semua bahan berkaitan komunis dilarang di Malaysia kerana kaitannya dengan pemberontakan komunis.

"Mungkin pihak berkuasa menganggap grafik itu sensitif - saya betul-betul tak tahu bahawa gambar itu tidak boleh dipasang di dinding," kata Joey.

Restoran Bukit Mertajam adalah cawangan kedua dan mereka turut memiliki rangkaian lain di Georgetown.

Selepas serbuan semalam, Joey berkata lima pekerja dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.

Joey berkata polis juga ingin menyoalnya tetapi dia belum memberikan keterangan kerana menjalani kuarantin kendiri di rumah akibat Covid-19.

"Saya tidak pernah menyangka bahawa pelekat kreatif boleh menyebabkan perkara ini," tambahnya.

Semasa serbuan, polis merobek kertas dinding berkenaan dan merampasnya.

Pinggan yang dikatakan memaparkan wajah Mao juga dirampas.

Sumber  memberitahu Malaysiakini bahawa pekerja tersebut disoal siasat oleh polis mengenai apakah mereka telah ditanamkan dengan ideologi komunis.

Polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 47 Akta Pertubuhan.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, ahli majlis tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii berkata, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas terhadap "gerakan komunis di Pulau Pinang".

"Ini adalah ancaman subversif terhadap keselamatan negara.

"Sekiranya tindakan segera tidak diambil, ia akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS