Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Umno tidak mahu daftarkan Muafakat Nasional
Diterbitkan:  Jan 6, 2021 4:01 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Setiausaha Agung BN yang dipecat, Annuar Musa mendakwa bahawa PAS telah mengusulkan supaya gabungan Muafakat Nasional (MN), yang terdiri daripada parti itu dan Umno, didaftarkan, tetapi Umno menolaknya.

Dakwaan itu berbeza dengan apa yang dikatakan oleh Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah bahawa terdapat masalah dalam mendaftarkan gabungan itu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana nama tersebut telah didaftarkan oleh pihak lain.

Menurut Annuar, masalah mendaftarakan MN tidak ada kaitan dengan alasan yang diberikan oleh Mohd Amar, tetapi hakikatnya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan kepemimpinan Umno supaya tidak mendaftarkan MN.

“Langsung tak ada kena-mengena (apa yang dituduh oleh Mohd Amar),” katanya.

Annuar menjelaskan bahawa keputusan itu telah beberapa kali berubah sejak kedua-dua pihak menandatangani piagam gabungan berkenaan pada bulan September tahun lalu.

Dia ketika itu adalah setiausaha agung Umno. Semalam, dia dipecat sebagai setiausaha agung BN.

Dia berkata, bahawa pada peringkat awal, tidak ada rancangan untuk mendaftarkan MN, tetapi Umno berubah fikiran untuk mendaftarkan gabungan itu.

“Kemudian berlaku peristiwa PAS jadi ahli PN, maka PAS jadi ahli PN, dikatakan apa pula nak daftar MN? Sedangkan Umno buat keputusan tak jadi ahli PN, maka berubah tak daftar.

“Kemudian berubah lagi oleh kerana PN daftar maka MN patut daftar, saya diarah buat draf perlembagaan dan sebagainya.

“Kemudian pada November, bila kita nak masuk bincang tentang pendaftaran, kita diarah oleh presiden (Ahmad Zahid) supaya bawa usul dalam mesyuarat itu supaya tak didaftarkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Annuar mendakwa bahawa PAS yang mahu pendaftaran gabungan itu diteruskan.

“Secara jujurnya, mesyuarat terakhir PAS syorkan supaya didaftarkan, tapi Umno tak nak,” katanya.

Bulan lalu, Amar berkata, jika kedua-dua parti ingin meneruskan pendaftaran, mereka harus menukar nama.

Walau bagaimanapun, gabungan itu akan terus menggunakan nama "Muafakat Nasional" tanpa mendaftarkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS