Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembelajaran dari rumah kecuali bagi calon peperiksaan
Diterbitkan:  Jan 11, 2021 10:32 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 yang belajar di negeri-negeri yang akan dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Bagaimanapun, pelajar yang akan mengambil peperiksaan termasuk SPM, SVM, SKM, STPM, STAM dan DVM dan peperiksaan setaraf yang lain akan dibenarkan untuk meneruskan pembelajaran bersemuka.

Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari 2021.

Selain itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengatakan tadika swasta yang berdaftar dibenarkan terus beroperasi secara bersemuka.

Kementerian Pendidikan menggariskan prosedur operasi standard (SOP) untuk institusi pendidikan setelah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kawalan ketat terhadap Covid-19 yang akan dilaksanakan bermula Rabu ini.

Negeri dan wilayah persekutuan yang akan berada di bawah PKP 2.0 adalah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perintah ini berlangsung selama dua minggu. Sekolah akan dibuka semula pada 20 Januari.

Bagi negeri yang tidak berada di bawah PKP 2.0, Kementerian Pendidikan mengatakan institusi pendidikan di daerah berkenaan - sama ada awam mahu pun swasta - dapat meneruskan jadual pembelajaran masing-masing.

Ini termasuk negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan yang akan berada di bawah PKP bersyarat dan Perlis dan Sarawak yang akan berada di bawah PKP pemulihan.

Kementerian mengatakan pembelajaran, sama ada di sekolah atau secara dalam talian, akan disambung semula pada 20 Januari.

Oleh itu, semua guru mesti kembali bertugas sebelum 20 Januari.

Ia menambah bahawa guru yang mengendalikan pelajar calon peperiksaan termasuk SPM, SVM, SKM, STPM, STAM dan DVM mesti hadir di sekolah untuk mengajar secara bersemuka.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," kata kenyataan itu.

Mulai 13 Jan, semua perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan.

Bagi negeri di bawah PKP 2.0, perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan kecuali pengecualian khas dari pihak berkuasa.

Bagi kolej matrikulasi yang terletak di kawasan di bawah PKP 2.0, Kementerian Pendidikan mengatakan akan menggunakan model hibrid di mana pelajar yang sudah berada di kampus akan tetap berada di tempat mereka.

Ia menambah bahawa institut latihan guru juga akan menggunakan pembelajaran maya sepenuhnya mulai 17 Januari.

Kementerian Pendidikan juga menasihatkan institusi pendidikan yang tidak berada di bawah bidang kuasa kementerian itu untuk mengikuti SOP yang sama.

Lihat Komen
ADS