Malaysiakini
BERITA

Darurat: Lokman mohon Agong lantik PM interim ganti Muhyiddin

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jan 2021, 6:26 pagi

Bekas ahli Umno yang disingkir, Lokman Adam merafak sembah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan.

Bagaimanapun, Lokman memohon sembah mencadangkan kepada Seri Paduka baginda mempertimbangkan perkenan memilih seorang perdana menteri interim bagi menggantikan Muhiyiddin Yassin "mengepalai darurat."

Lokman yang dikenali sebagai penyokong tegar bekas presiden Umno Najib Razak berkata Muhyiddin telah kehilangan majoriti parlimen untuk kekal sebagai perdana menteri. 

"Penarikan sokongan Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaacob dan Nazri Aziz hari ini jelas menunjukkan bahawa Muhyiddin sudah hilang legitimasi sebagai seorang perdana menteri," katanya.

Yang di-Pertuan Agong hari ini berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

"Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," kata Istana Negara.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.