Malaysiakini
BERITA

Tajuddin: Darurat untuk cegah Covid-19 atau kawalan politik?

Haspaizi Zain

Diterbitkan

Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman mempersoal sama ada darurat yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk mengawal penularan Covid-19 ataupun melakukan kawalan politik.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, "ramai yang bercakap" bahawa darurat itu bertujuan untuk memudahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyekat ancaman sokongan ataupun kehilangan majoriti.

"Ada juga orang berkata ini darurat politik untuk elak kerajaan sekarang yang berdepan ancaman sokongan ditumbangkan.

"Sokongan sudah berkurangan, sudah tak ada majoriti, kalau ikut hukum demokrasi bila tak ada majoriti kerajaan tak boleh wujud lagi.

"Perdana menteri perlu hadapi di mana dia diganti oleh orang lain yang mampu menarik sokongan. Ramai orang cakap (darurat) untuk mengelak perdana menteri daripada digantikan, untuk elak PN jatuh. Kalau itu berlaku saya rasa tak elok," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong hari ini berkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

"Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," kata Istana Negara.

Hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz mengumumkan keputusannya menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongannya pada kerajaan PN.

Sementara itu, Tajuddin berkata jika ingin mengawal Covid-19 kerajaan perlu berusaha untuk mendapatkan vaksin dalam kadar yang segera serta menjalankan ujian saringan terhadap rakyat dalam kapasiti yang meluas.

Katanya, keputusan kerajaan ini juga akan menyukarkan Umno untuk mengabsahkan keputusan parti itu untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam perhimpunan agung Umno.

"Hujung bulan ini keputusan Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, tapi dengan pengisytiharan darurat tak tahu perhimpunan agung boleh buat atau tidak.

"Kalau tak jadi, tertangguh, ini cara Bersatu untuk hadapi masalah," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.