Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dengan darurat, tak timbul soal kerajaan cukup sokongan atau tidak'

Pengisytiharan darurat menjadikan kerajaan tidak berjalan, justeru tidak berbangkit soal kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai cukup majoriti atau tidak, menurut Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah.

"Bila darurat kerajaan tidak berjalan seperti biasa, jadi tak berbangkit kerajaan cukup undi (sokongan) ke atau tak cukup. Ia tak berbangkit.

"Sebab darurat ini keadaannya berbeza, kenapa kita nak kata kerajaan tumbang pula?" katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN), di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin kehilangan majoriti di parlimen sekali gus terpaksa mengisytiharkan darurat untuk kekal berkuasa.

Hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh darurat akan berlangsung sehingga 1 Ogos antara lain bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Sepanjang tempoh itu, Parlimen mahupun DUN hanya akan bersidang pada satu tempoh yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini bermakna sebarang usul undi percaya atau tidak percaya tidak dapat dibawa.

Pada hari sama, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri aziz menyusuli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakob dalam menarik semula sokongan terhadap kerajaan.

Ia sekali gus menjadikan Muhyiddin kini hanya mempunyai 109 sokongan daripada 220 ahli Parlimen dan didakwa hilang majoriti.

'Tukar kerajaan tak jamin selesai masalah'

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata dia setuju dengan langkah diambil kerajaan dalam usaha menangani pandemik Covid-19 yang kian meruncing.

Tegasnya, ahli politik khususnya pembangkang perlu bersabar memandangkan tempoh pengisytiharan darurat itu hanya sehingga bulan Ogos.

"Saya bersetuju (darurat) sebab bila kita duduk dalam kerajaan kita ada tengok data-data dan maklumat, jadi kita nampak ada alasan yang munasabah untuk kerajaan mengusulkan darurat. Orang di luar kerajaan tak ada banyak maklumat, tapi kita dalam kerajaan ada laporan.

"Sesiapa yang nak jadi kerajaan selepas bulan Ogos nanti bertandinglah, tak ada masalah. Isu kita yang paling besar ialah menangani Covid-19 dan isu ekonomi, jadi sepatutnya semua pihak menumpukan kepada aspek ini dan kurangkan berpolitik," katanya.

Katanya, tiada jaminan masalah yang dihadapi kini akan selesai dengan pertukaran kerajaan.

"Isu sekarang ini Covid-19, sekarang ini siapa boleh atasi kalau kita tukar kerajaan sekali pun? Adakah kerajaan yang baru nanti boleh menghalang dan mengatasi isu-isu Covid-19? Ada yang kata kerajaan PN lemah, kalau naik kerajaan lain boleh selesai?

"Sekejap orang itu tarik sokongan, orang ini kata ada angka, jadi macam mana kita nak bergerak untuk menangani Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi.

"Itu yang kita kena faham dulu, sebab masa masih ada, lepas ini pilihan raya kalau menang boleh jadi kerajaanlah. Apa masalahnya?" soal Mohd Amar.

Lihat Komen
ADS