Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak lagi sokong Muhyiddin, Nazri dakwa PN kini hilang majoriti
Diterbitkan:  Jan 12, 2021 2:11 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Nazri Aziz menjadi ahli parlimen terbaru menarik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu membuat pengumuman berkenaan dalam sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya keputusan berkenaan dibuat dengan mandat yang diberikan oleh Umno Padang Rengas serta pendirian yang dibuat oleh majlis tertinggi parti (MT) itu baru-baru ini.

"Atas mandat yang telah diberikan oleh bahagian saya - Padang Rengas - dan dengan mandat oleh MT maka saya pada hari ini mengumumkan saya Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua Umno Padang Rengas merangkap ahli parlimen kawasan Padang Rengas dengan ini dan dengan rasminya saya menarik sokongan kepada pimpinan Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan yang sedia ada," katanya.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi, keputusan yang diambil itu dibuat selepas dia berfikir panjang dan berasakan ia adalah langkah terbaik untuk Umno.

Sidang media Nazri itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hanya beberapa jam selepas Muhyiddin menyampaikan ucapan berkenaan pelaksanaan darurat di negara ini. 

Turut hadir dalam sidang media itu Pengarah Pilihan Raya Umno merangkap ahli MT, Tajuddin Abdul Rahman. 

Menurut Nazri lagi walaupun membuat keputusan itu Umno tidak menentukan bila pilihan raya umum perlu diadakan.

Namun dia menyatakan, dalam keadaan sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi memiliki majoriti di parlimen.  

"Dengan (penarikan) sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin ini, bermakna hari ini kerajaan sudah ada (sokongan) 109 (ahli parlimen) saja... sudah tidak ada majoriti," katanya.

Ditanya media mengenai kemungkinan akan ada lagi ahli parlimen lain yang akan mengikut langkah sama, Nazri berkata, ia terpulang kepada pertimbangan wakil rakyat yang berkenaan.

Sebelum ini katanya penarikan balik sokongan itu sudah dibuat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Ahmad Jazlan.

"Saya rasa ada dua tiga lagi (ahli parlimen akan mengambil langkah sama) dalam masa terdekat ini," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS