Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Layanan pihak berkuasa galak penindasan terhadap transgender - NGO

Sikap pihak berwajib terhadap golongan transgender akan meningkatkan lagi penindasan terhadap golongan LGBTQ, menurut NGO Justice for Sisters.

Penindasan itu pula, dakwa NGO tersebut, seringkali terlepas daripada sebarang tindakan.

Penyelidik Justice for Sisters Thilaga Sulathireh berkata, golongan transgender di Malaysia dikira sebagai jenayah dan ekspresi dan identiti gender mereka tidak diiktiraf.

Katanya, ia menyebabkan insiden seperti apa yang didakwa berlaku ketika penahanan jutawan kosmetik Muhammad Sajat Kamaruzzaman, yang lebih dikenali sebagai Sajat, baru-baru ini.

"Justice for Sisters sangat bimbang dengan penahanan dan tindakan terhadap Sajat baru-baru ini, yang terus-menerus menjadi sasaran kerana gendernya,” kata Thilaga kepada Malaysiakini.

Katanya, insiden itu berlaku di saat sentimen anti-transgender semakin meningkat di kalangan pelbagai pihak.

Insiden ke atas personaliti kontroversi yang berusia 35 tahun itu menjadi bualan hangat selepas dia mendakwa dikasari beberapa anggota penguatkuasa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), di ibu pejabat Jais di Shah Alam.

Jais berkata, siasatan itu berhubung beberapa aduan yang diterima mengenai perlakuan Sajat pada tahun 2018 dan 2020, yang didakwa "menghina Islam" dalam kunjungannya ke sekolah agama, bersama dengan pekerjanya untuk mengedarkan bantuan.

Kata Jais lagi, penguatkuasa yang terlibat dalam insiden itu juga telah dipanggil memberi keterangan tetapi tidak menyatakan butirannya dengan lebih lanjut.

Melalui video berdurasi 38 minit yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, seorang pegawai Jais dirakam memberitahunya bahawa siasatan itu berkaitan dengan pemakaiannya pada hari tersebut - gaun panjang merah jambu dan tudung bercorak bunga.

Sajat juga mendakwa mengalami kecederaan disebabkan pergelutan kerana enggan digari.

"Kami merasakan tindakan Jais tidak wajar dan tidak munasabah,” kata Thilaga.

Thilaga berkata pihaknya bimbang tindakan itu akan mengurangkan lagi rasa selamat dan privasi peribadi serta kebebasan ekspresi, bukan kepada Sajat tetapi juga golongan transgender lain.

Katanya, pihak berwajib seringkali gagal menangani isu sebenar berkaitan kurangnya pengiktirafan terhadap hak golongan tersebut.

Sajat dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan diserang tetapi pemangku ketua polis Selangor, Arjunaidi Mohamed memberitahu Malaysiakini bahawa setakat ini pihaknya belum dapat mengambil kenyataannya.

Jais dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa Sajat disiasat di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS