Paling Popular
Terkini

Malaysia sudah berada di bulan kesepuluh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac yang lalu. Kerajaan telah berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak Covid-19 menjelang Mei 2020. Akan tetapi gelombang ketiga wabak ini menerpa setelah pilihan raya negeri (PRN) Sabah berakhir tidak lama dahulu dan menjadi semakin tidak terkawal menjelang Januari 2021.

Gelombang ketiga wabak ini lebih parah daripada gelombang kedua dengan kes aktif melepasi paras 30,000, berbanding 2,700 sewaktu kemuncak gelombang kedua.

Negara terus dibelenggu wabak Covid-19 dan pentadbiran yang tidak begitu stabil yang akhirnya boleh menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Apabila kesejahteraan rakyat terjejas, maka negara mungkin akan berada di ambang ketidaktenteraman.

Sedang negara bergelumang dengan gelombang ketiga wabak Covid-19, teraju pemerintahan negara juga dikatakan mungkin bertukar, mungkin tidak. Terdapat juga ura-ura bahawa pilihan raya umum bakal diadakan. Bagi memastikan semua pihak, pemerintah dan pembangkang serta rakyat dapat bekerjasama dalam menangani masalah Covid-19, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) telah menggunakan kebitaraan baginda untuk mengisytiharkan darurat ke atas seluruh persekutuan pada 12 Januari 2021.

Apakah darurat?

Darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh YDPA melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Perlembagaan persekutuan membenarkan pengisytiharan darurat menerusi perkara 150.

Apa perlunya darurat?

Sekiranya YDPA mengisytiharkan darurat, Parlimen boleh digantung sementara dan kerajaan sedia ada akan menjadi kerajaan caretaker seperti yang pernah berlaku ketika rusuhan kaum pada tahun 1969 yang lalu.

Pengisytiharan darurat diperlukan bagi membolehkan kerajaan melakukan apa yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam dapat dikawal serta negara tidak terus berada dalam keadaan huru-hara.

Sewaktu darurat diisytiharkan pada tahun 1969, teraju pemerintahan negara diambilalih oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang akhirnya telah berjaya mengembalikan keamanan dalam negara. Setelah keadaan menjadi stabil, demokrasi dipulihkan kembali oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak.

Malaysia tidak pernah gagal untuk mendukung aspirasi demokrasi. Pertukaran kerajaan pada tahun 2018 adalah manifestasi bahawa demokrasi hidup subur di Malaysia di sebalik segala fitnah yang dilemparkan terhadap negara.

Namun, perlu diingatkan bahawa darurat yang diisytiharkan pada tahun 1969 hanya dibatalkan pada tahun 2011. Di sebalik keadaan darurat, negara telah mencatatkan kerancakan perkembangan ekonomi yang luar biasa dan kerajaan pada waktu itu berhasil dalam mensejahterakan rakyat dengan perpaduan antara kaum yang utuh.

Thailand adalah contoh yang boleh dirujuk, walaupun senario politiknya tidak secara keseluruhannya sama. Setelah kerajaan Thailand digulingkan pada tahun 2014, pemerintahan junta telah ditubuhkan di Negara Gajah Putih itu dan pemerintahan ini hanya tamat pada tahun 2019. Dari tempoh 2014-2019, di sebalik pemerintahan junta yang bukannya didukung oleh demokrasi, ekonomi Thailand tetap berkembang dalam tempoh berikut, malah, nilai mata wang baht mengatasi kekuatan ringgit sehinggalah hari ini, walaupun terdapat kebangkitan rakyat menentang raja mereka.

Langkah ke hadapan

Seluruh rakyat perlu menyedari bahawa pengisytiharan darurat bukanlah semata-mata seperti zaman pengganas komunis pada tahun 1948 ataupun rusuhan kaum pada tahun 1969.

Memang benar apa yang dikatakan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa tidak perlu untuk mengisytiharkan darurat kerana negara dalam keadaan aman.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa pergolakan politik tetap berlaku di Malaysia dan ini telah terjadi di dalam negara sejak awal tahun 2020. Beberapa bulan yang lalu, terjadi pergelutan politik di Sabah yang menyaksikan PRN berlangsung dengan tewasnya kerajaan Warisan pimpinan Shafie Apdal. Ramai percaya, akibat daripada PRN Sabah, Covid-19 sekarang kembali mengganas di Malaysia.

Dengan kes harian mencatatkan purata empat angka setiap hari, sistem kesihatan Malaysia boleh lumpuh. Maka pengisytiharan darurat adalah wajar demi memastikan kerajaan sedia ada boleh berfungsi dengan baik dalam memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat serta membendung aktiviti ‘politiking’ berlebihan yang boleh menimbulkan kekacauan.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sendiri menegaskan bahawa darurat kali ini bukanlah bersifat ketenteraan dan rakyat masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa tertakluk kepada syarat-syarat PKP.

Parlimen mungkin boleh digantung, tetapi itu tidak bermakna kerajaan tidak dapat menjalankan tugas mentadbir negara. Setelah Covid-19 dapat dibendung dan kesejahteraan rakyat dipelihara, barulah darurat boleh ditamatkan bagi mendokong aspirasi demokrasi dengan memberi ruang untuk pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Adalah tidak adil untuk menuduh bahawa pengisytiharan darurat akan menyebabkan kerajaan sedia ada menjadi diktator kerana mengikut amalan terdahulu melalui Mageran, amalan demokrasi telah dikembalikan setelah ketenteraman di dalam negara dipulihkan.

YDPA telah menolak permohonan pengisytiharan darurat pada tahun 2020 yang dinasihatkan oleh perdana menteri sebelum ini dan sebaliknya menitahkan ahli-ahli politik berhenti bercakaran. Ini menunjukkan baginda amat berhati-hati dalam menentukan sama ada perlu atau tidak darurat diisytiharkan.

Namun, seperti yang dijangka, sesetengah ahli politik masih tidak lagi berhenti bercakaran sehingga ada yang mencadangkan PRU diadakan meskipun Covid-19 masih mencengkam negara.

Disebabkan kes jangkitan Covid-19 yang belum menampakkan tanda-tanda akan mereda, baginda memperkenan untuk mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021. Pengisytiharan oleh baginda mestilah dijunjung oleh semua.

Kesimpulan

YDPA telah menggunakan kebitaraan baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi membendung wabak Covid-19, setelah mempertimbangkan nasihat pakar-pakar pelbagai bidang di Malaysia. Di waktu yang sukar ini, pemimpin tidak kira pemerintah ataupun pembangkang dan rakyat jelata perlulah berganding bahu bagi memastikan Malaysia tidak akan terus terjejas akibat pandemik Covid-19. Rakyat perlulah didahulukan dalam apa jua keputusan yang bakal diambil.

Rakyat juga akan memerhatikan apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam membendung wabak berbahaya ini. Sekiranya kerajaan sedia ada tidak mementingkan kebajikan warga, pilihan terserah kepada rakyat dalam menentukan kerajaan seterusnya menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti.


PROF MADYA DR MOHD HAZMI MOHD RUSLI dan DR NOOR DZUHAIDAH OSMAN adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS