mk-logo
Berita
Dr M dakwa DAP mahu Shafie sebagai calon PM
Diterbitkan:  Jan 15, 2021 3:09 AM
Dikemaskini: 3:31 AM

Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng lebih cenderung memilih Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang.

Kata Mahathir, dia "tidak menentang" Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya presiden PKR itu dapat membuktikan sokongan majoriti ahli parlimen.

Ditemubual di stesen radio BFM 89.9 pagi ini, bekas perdana menteri itu menafikan tanggapan yang mengatakan dia tidak meletakkan keyakinan kepada Anwar untuk menggantikannya dan menegaskan bahawa dia sememangnya berniat untuk menyerahkan jawatan berkenaan.

"Tidak, saya tidak menentangnya, tetapi dia mahu saya mengundurkan diri sebelum saya menyelesaikan tugas saya. Saya beritahu dia, saya akan berundur.

"Malah, saya beritahu beri saya enam bulan kerana saya mempunyai tugas yang harus dilakukan [...]," katanya semasa segmen Breakfast Grille.

"Ya dia akan menjadi perdana menteri tetapi ada satu hal yang harus anda terima, bahawa dia (mesti) mendapat sokongan majoriti.

"Saya tidak dapat menentukannya, saya tidak boleh mengatakan 'anda menjadi perdana menteri'. Anda mesti mendapat sokongan majoriti anggota parlimen,” jelasnya.

Ditanya mengapa dia berpendapat Shafie adalah calon perdana menteri yang lebih baik daripada Anwar, Mahathir menuding jari kepada Lim.

Dia juga berpendapat bahawa Pakatan Harapan (PH) memerlukannya untuk menarik minat pengundi Melayu.

"Ini pandangan Guan Eng, DAP.

"Anwar sama sekali tidak mahu saya berada di sana (sebagai perdana menteri). Tetapi jika saya tidak berada di sana, orang Melayu tidak akan menyokong PH. Dan dia tidak akan dapat menjadi perdana menteri,” jawabnya.

Malaysiakini telah menghubungi Lim untuk mendapatkan ulasan balas.

Jun lalu, Mahathir secara terbuka menyokong Shafie sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang berikutan pertemuan dengan pemimpin tertinggi DAP dan Amanah.

Pada masa itu, DAP dan Amanah telah mengusulkan agar PH membincangkan cadangan tersebut.

PKR kemudian menegaskan mereka tetap mahu Anwar sebagai calon perdana menteri.

Pejuang tak akan kerjasama dengan pemimpin ada kes mahkamah

Sejak disingkir dari Bersatu tahun lalu, Mahathir mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini menolak permohonan Pejuang untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Ditanya dengan siapa Pejuang ingin bekerjasama dalam pilihan raya akan datang, Mahathir tidak menjawab secara langsung, namun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno.

Bagaimanapun, jelas Mahathir, Pejuang tidak akan bekerjasama dengan ahli politik yang telah didakwa di mahkamah.

"Parti utama harus bekerjasama dengan kami untuk membentuk kerajaan kerana dalam pilihan raya, kemungkinan besar baik kiri mahupun kanan, baik Perikatan Nasional (PN) atau PH, akan sukar mendapat majoriti yang jelas," katanya.

"Saya tidak akan bekerjasama dengan orang yang didakwa di mahkamah atas sesuatu kesalahan. Sama ada mereka didapati bersalah atau tidak, kerana orang tahu mereka bersalah," tambah Mahathir.

Selain Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi, Pejuang dianggotai oleh Mukhriz Mahathir (Jitra), Shahruddin Salleh (Sri Gading) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Tiga Adun Selangor - Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Sallehuddin Amiruddin (Kuang) - juga telah menyatakan kesetiaan mereka kepada Pejuang.

Senator Marzuki Yahaya juga adalah sebahagian dari Pejuang.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS