Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Khairuddin Abu Hassan mengemukakan cabaran undang-undang di mahkamah berhubung nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang dikuatkuasakan ketika ini.

Khairuddin yang dikenali sebagai penyokong kuat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, mengemukakan cabaran undang-undang itu melalui firma guaman Messrs Law Practice Rafique di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Perkembangan itu hadir selepas pelbagai pihak baru-baru ini mencadangkan isu darurat dibawa ke mahkamah.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengatakan bahawa pihaknya akan mencabar pengisytiharan darurat oleh kerajaan.

Menurut salinan saman pemula berkenaan, Khairuddin antara lain meminta mahkamah memutuskan apakah nasihat Muhyiddin tidak sah kerana dia didakwa kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen di Parlimen.

"Sama ada nasihat oleh seorang perdana menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi satu pengisytiharan proklamasi darurat adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan.

"Sama ada nasihat oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong bagi satu pengisytiharan proklamasi darurat telah dibuat ‘in fraudem legis’ di mana pada ketika nasihat itu diberikan, beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai perdana menteri," kata senarai perintah mahkamah yang dipohon Khairuddin itu.

Dia memohon mahkamah menentukan keabsahan keputusan kabinet Muhyiddin mencadangkan pengisytiharan darurat ketika ahli parlimen Pagoh itu didakwa sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Khairuddin juga memohon mahkamah menentukan keabsahan penggantungan sesi parlimen sehingga 1 Ogos atas alasan yang sama.

Menurut salinan pernyataan dakwaan itu Khairuddin mendakwa untuk pertama kali dalam sejarah negara, krisis perlembagaan berlaku apabila dicetuskan Muhyiddin yang memberikan nasihat kepada Agong ketika dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS