Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan pensyarah dipaksa letak jawatan, alumni mahu penjelasan
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 3:46 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Seramai sembilan alumni Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, memohon penjelasan UiTM berhubung dakwaan seorang pensyarah kanan fakulti itu yang dipaksa meletakkan jawatan sebagai penolong rektor UiTM Raub.

Dalam surat terbuka bersama semalam, mereka mendakwa ada desas-desus bahawa Dr Che Hamdan dipaksa menulis surat peletakan jawatannya pada 28 Dis 2020, kerana tekanan pihak atasan.

Kata mereka, dakwaan itu adalah satu hal yang mengejutkan memandangkan Che Hamdan baru sahaja dinaikkan ke jawatan penolong rektor UiTM kampus Raub pada 15 Jun 2020.

“Perkara ini sedikit sebanyak menimbulkan kemusykilan kerana mengenali individu yang bernama Che Hamdan Che Mohd Razali, beliau tidak akan bertindak untuk meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah.

“Tambahan pula, sekiranya desas-desus mengatakan bahawa perletakkan jawatan beliau adalah disebabkan oleh tekanan daripada pihak atasan adalah benar, ia adalah insiden yang menyayat hati dan tidak wajar berlaku di dalam institusi pendidikan tinggi lebih-lebih lagi UiTM yang berpegang kepada prinsip mengubah destini anak bangsa,” kata mereka.

Surat itu hadir selepas muncul ciapan di Twitter mendakwa seorang kakitangan UiTM diminta meletakkan jawatan kerana dikatakan membenarkan lawatan sambil belajar pelajar ke ibu pejabat sebuah parti pembangkang.

Surat terbuka itu mengandungi nama Ronnie Anak Anthony (koordinator alumni FSPPP UiTM Raub), Asyraf Zulkefli, Yusri Hilmi Azman, Khamarul Aqmal Mantan, Akmal Ariff Mantan, Danial Qayyum Mantan, Iman Norhizam, Syukur, dan Muhammad Iqkma Hakim Mantan.

Mereka merupakan mantan presiden kelab AdminUS (Administrative United Students Society), dan mantan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Malaysiakini sedang menghubungi pihak UiTM untuk mendapatkan maklum balas berkenaan dakwaan ini.

Che Hamdan pula ketika dihubungi tidak mahu memberikan sebarang komen.

Lihat Komen
ADS