Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH akan sertai jawatankuasa darurat
Diterbitkan:  Jan 20, 2021 5:21 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan tiga nama untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa bebas yang akan segera ditubuhkan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong tentang tempoh darurat.

Bercakap pada sidang media dalam talian hari ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengatakan PH telah menerima penjelasan daripada Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan mengenai jawatankuasa tersebut.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dijangka mengemukakan tiga calon PH hari ini.

Menurut pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari, jawatankuasa itu akan terdiri daripada kumpulan ahli parlimen kerajaan serta pembangkang, selain pakar.

“Saya memberikan komitmen yang tegas bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik saja jawatankuasa khas bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak Covid-19 dah reda atau pulih sepenuhnya, dan pilihan raya dah selamat untuk diadakan," kata Muhyiddin ketika itu.

Malaysiakini  sudah cuba mendapatkan ulasan Saifuddin mengenai apakah PH telah diberitahu tentang terma rujukan tetapi masih belum mendapat balasan.

Pada 14 Januari, Anwar yang juga ketua pembangkang menggesa anggota parlimen untuk menulis surat kepada Agong untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan darurat.

Dalam sidang media hari ini, Anwar mengatakan PH telah menghantar surat kepada Agong semalam.

"Kita mohon ehsan dan kebijaksanaan Agong untuk kaji semula keputusan titah baginda tentang pengisytiharan darurat. Kalau boleh dilakukan perubahan.

"Yang kedua, kerana dalam darurat, Agong berkuasa untuk menitahkan supaya diadakan sidang parlimen pada bila-bila masa.

"Maka oleh demikian, kami usulkan supaya Agong melalui ehsan dan kebijaksanaan baginda menitahkan supaya sidang parlimen diadakan dengan segera," katanya.

Anwar menegaskan bahawa jawatankuasa darurat itu berbeza dengan persidangan parlimen.

"Jawatankuasa itu kita sambut dan kita putuskan akan hantar wakil, tapi itu jawatankuasa bebas, bukan dari kuasa eksekutif, dan pandangan itu banyak terjurus pada pengisytiharan darurat dan bila patut dihentikan.

"Itu bukan penyelesaiannya. Empat ahli partlimen dari kerajaan dan tiga dari pembangkang, tak sama dengan sidang parlimen.

"Itu hanya untuk beri nasihat yang agak khusus (kepada Agong). Tapi sebab ia satu usul dalam titah tuanku, kita buat keputusan untuk beri kerjasama," katanya.

Lihat Komen
ADS