Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
YIK benarkan calon peperiksaan SMU hadir kelas fizikal

Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut membenarkan pelajar tingkatan empat tahun 2020 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

Sesi pembelajaran secara fizikal itu turut melibatkan pelajar tingkatan lima dan enam di semua sekolah YIK seluruh negeri seperti yang diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

YIK dalam satu notis pemberitahuan oleh pengarahnya Engku Rajhan Engku Ismail, pada 17 Januari lalu berkata, pembelajaran secara bersemuka itu bermula pada hari ini dan sehingga selesai peperiksaan termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

"Bagi murid sekolah rendah dan tingkatan satu hingga empat pula akan mengikuti pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid," katanya dalam notis berkenaan.

Sebagai rekod peperiksaan SMU hanya melibatkan murid sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri.

Sementara itu Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknoligi Maklumat Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya menggunakan garis panduan dikeluarkan KPM dalam memastikan pengoperasian sekolah-sekolah di bawah YIK.

Katanya, cuma pelajar tingkatan empat 2020 (berbeza dengan sekolah di bawah KPM) turut dibenarkan hadir ke kelas secara fizikal.

"Sebab pelajar tingkatan empat di sekolah-sekolah YIK ada peperiksaan awam iaitu Sijil Menengah Ugama (SMU).

"Selain itu sekolah-sekolah YIK beroperasi sebagaimana sekolah-sekolah kementerian yang lain," jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin pada 15 Jan lalu mengumumkan sesi persekolahan secara fizikal hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama.

Ia melibatkan peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Keputusan itu diambil selepas perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta merujuk kepada trend kes Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Lihat Komen
ADS