Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cauvinis Cina dalam DAP? Ya dan tidak, kata veteran parti

WAWANCARA l Sejak pilihan raya umum ke-13, DAP berusaha untuk bertanding dan menembusi kawasan kerusi majoriti masyarat Melayu dengan harapan untuk mengikis imej keCinaan parti berkenaan.

Ini menyaksikan tercetusnya pertikaian dalaman parti yang disebut sebagai perdebatan "Lautan Biru lawan Lautan Merah".

Semasa perbahasan, label seperti "Hua Sha" (cauvinis Cina) dan "Da Ai" (cinta besar) dilemparkan ke atas puak-puak yang bertentangan. Istilah yang terakhir adalah rujukan sinis buat kumpulan yang percaya bahawa adalah penting bagi masa depan parti untuk memenangi hati dan minda pengundi Melayu.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, veteran DAP Liew Ah Kim disoal mengenai perkara itu. Jawapannya adalah "ya" dan "tidak".

Bekas ahli parlimen berusia 83 tahun itu, yang kembali aktif setelah 20 tahun meninggalkan arena politik, berkata terdapat juga label "cauvinis atau pelampau Inggeris" dalam DAP.

Katanya, istilah "cauvinis" hanya digunakan untuk kemudahan rujukan dan ini tidak bermaksud mereka secara membuta tuli percaya bahawa bangsa, budaya atau identiti mereka lebih unggul daripada yang lain.

Liew sendiri digelar sebagai "mahaguru kumpulan Hua Sha" oleh bekas anggota parti Hew Kuan Yau, yang tetap menjadi tokoh berpengaruh kumpulan berkenaan meskipun telah meninggalkan DAP hampir empat tahun yang lalu.

Pemimpin veteran itu berkata saling melabel dalam DAP dapat dikesan daripada bermulanya krisis parti pada akhir 1970-an.

Pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kota pada tahun 1980, DAP mencalonkan pemimpin berpendidikan Inggeris Teoh Teik Huat yang bertentangan dengan keputusan pemimpin DAP Pulau Pinang ketika itu, Tan Yu Su, yang ingin mencalonkan Goh Lim Earn yang berpendidikan Cina.

Teoh tewas kepada calon MCA dan bermula saat itu, kedua-dua kumpulan saling menyalahkan satu sama lain.

Lim Kit Siang, yang adalah setiausaha agung DAP ketika itu, dituduh menindas anggota parti yang berpendidikan Cina.

Krisis itu berakhir dengan pemecatan empat pemimpin yang mengkritik keputusan parti - Tan Yu Su, Goh Lim Earn, Seow Han Cheng dan Tan Teik Chuan.

Walau bagaimanapun, kesan krisis yang timbul menyebabkan kemunculan kumpulan yang saling melabel sesama mereka sebagai "cauvinis Cina" atau "cauvinis Inggeris".

Liew, yang menyertai DAP pada tahun 1966, percaya bahawa kumpulan-kumpulan itu timbul susulan perbezaan latar belakang keluarga dan pendidikan, yang menyebabkan mereka di kumpulan masing-masing memberi tumpuan kepada isu berbeza.

"Sebagai contoh, puak cauvinis Inggeris bercakap mengenai kehakiman, yang merupakan perkara lebih teoritikal dan akademik.

"Sebaliknya, kita bercakap mengenai kesaksamaan kaum, peruntukan dalam perlembagaan dan bagaimana melindungi hak-hak asas minoriti," katanya.

Liew berhujah bahawa golongan yang dilabel cauvinis Cina tidak boleh dianggap sebagai konservatif.

“Kami juga ambil kisah tentang isu alam sekitar serta juga perkembangan sains dan teknologi.

"Kami bukan katak di bawah tempurung. Kami dilabel sebagai cauvinis Cina hanya kerana kami berpendidikan Cina," katanya.

Liew, yang mengambil jurusan bahasa Cina di Universiti Nanyang Singapura dan telah menulis beberapa novel dan puisi, berkata, dia juga berusaha keras untuk belajar bahasa Inggeris.

Menekankan bahawa dia menghormati semua budaya, bekas naib ketua DAP itu berkata bahawa dia tidak melihat dirinya sebagai "pelampau Cina".

"Saya baca Confucius dan Mencius, tetapi saya juga membaca Bible," katanya, sambil menambah bahawa dia berbahasa Inggeris dengan rakan-rakannya di gereja.

"Sukar sangat untuk mempercayai bahawa seseorang yang boleh berbahasa Inggeris di gereja dilabel cauvinis Cina," katanya.

Pemimpin baru DAP

Mengakui bahawa faksionalisme atau berpuak-puak nukan pertanda baik bagi DAP, Liew, bagaimanapun, berkata Kit Siang berjaya berperanan sebagai penghubung antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Dalam nada sama, Liew yakin bahawa fahaman berpuak-puak seperti itu tidak lagi wujud di kalangan pemimpin baru DAP.

"Tidak ada perkara seperti cauvinis Cina dalam generasi baru sekarang. Siapa cauvinis Cina? Boleh kamu beritahu saya?" soalnya.

Liew terpilih sebagai ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (Adun) selama tiga penggal. Dia menghilang dari arena politik setelah krisis kepemimpinan DAP memuncak pada akhir 1990-an.

Kumpulan-kumpulan yang disebut dalam mukadimah memoirnya yang baru diterbitkan, yang ditulis oleh anak didiknya Hew.

Menurut Hew, ahli DAP terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kumpulan berpendidikan Inggeris boleh dibahagikan kepada kumpulan liberal dan sosial demokrat, sementara ahli berpendidikan Cina kebanyakannya adalah kumpulan sosial demokrat.

"Pemimpin berpendidikan Inggeris lebih lantang mempertahankan kebebasan awam dalam demokrasi berperlembagaan sementara rakan mereka yang berpendidikan Cina pula cenderung menuntut kesaksamaan kaum dan memperjuangkan hak kaum minoriti," tulisnya.

Pemimpin cauvinis Inggeris, jelasnya, kebanyakan mereka adalah profesional atau elit Cina, yang cenderung "berfikir dalam bahasa Inggeris", mempunyai status sosial dan taraf ekonomi yang lebih tinggi dan lazimnya terasing daripada akar umbi dan masyarakat Cina.

Walaupun puak cauvinis Cina mempunyai sokongan meluas di kalangan akar umbi dan masyarakat, Hew berkata kepemimpinan pusat DAP sebelum ini didominasi oleh kumpulan cauvinis Inggeris.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS