Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaga adab - Mat Hasan tegur penentang Zahid
Diterbitkan:  Jan 26, 2021 12:59 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegur ahli-ahli parti yang mendesak Presiden Ahmad Zahid Hamidi berundur dengan cara tidak wajar, yang menurutnya, satu budaya tidak sihat di dalam Umno.

Merujuk insiden kain rentang dan sepanduk yang dikatakan dinaikkan akar umbi bagi mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan, kata Mohamad, perbezaan pendapat jangan disuarakan dengan cara tidak beradab sehingga kurang rasa hormat terhadap institusi presiden.

“Pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut. Ini bukan budaya dan nilai Umno. Malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.

“Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana Umno itu nilainya demokratik, tetapi jangan lah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan Umno.

“Menurut biar berakal, menentang biar beradab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak kebelakangan ini, tersebar di media sosial beberapa gambar kain rentang yang digantung di kawasan awam, mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

Ia didakwa dilakukan oleh sayap atau bahagian parti, seperti yang tercetak pada kain rentang berkenaan.

Antaranya, kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah di Negeri Sembilan, Perak, dan Selangor. Namun beberapa bahagian parti kemudian telah tampil menafikan mereka terlibat dalam penggantungan kain rentang berkenaan dan ada yang membuat laporan polis.

Selain itu, Ahmad Zahid turut berdepan desakan serupa daripada beberapaindividu, antaranya, Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang, Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin, Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman, serta beberapa yang lain.

Antara lain, mereka mendakwa kepemimpinan Ahmad Zahid gagal membaca dan memahami sentimen di akar umbi Umno, selain tindakan kepemimpinan tertinggi mendedahkan Umno kepada kehilangan keyakinan orang Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Mohamad berpesan agar Umno bersatu kerana sedikit pun perpecahan berlaku di dalam Umno akan memberi peluang kepada lawan untuk mengadu domba dan meretakkan parti sehingga membawa perseteruan dan perpecahan.

“Kekuathiran saya ialah akhirnya, yang akan menjadi korban ialah Umno dan bangsa Melayu.[...]

“Antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang,” katanya.

Justeru dia menyeru Umno membangunkan era kesatuan dan muafakat, di mana perbezaan diurus dengan sopan, berhikmah dan sepakat.

“Dan akhirnya, era di mana Umno dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS