Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jika Zahid undur sukarela, ahli Umno akan puji'
Diterbitkan:  Jan 17, 2021 11:07 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Pemimpin akar umbi Pemuda Umno dikatakan terus mendesak presiden parti berundur secara terhormat pada saat Ahmad Zahid masih belum dapat memutuskan secara mutlak hala tuju politik Umno menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ia juga dibuat ketika ada kritikan terhadap kepimpinannya yang dianggap gagal membaca dan memahami sentimen ahli Umno di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Selangor, Aemirul Zaki dilaporkan berkata Zahid boleh berbuat demikian secara sukarela tanpa perlu menunggu pemilihan parti atau keputusan Perhimpunan Agung Umno.

“Tidak timbul isu Zahid akan dikecam dan dibodohkan oleh ahli.

"Ahli (sebaliknya) akan puji dan berbesar hati melihat kesanggupannya memberi ruang kepada orang yang tidak banyak isu untuk mengetuai parti,” katanya dipetik The Malaysian Insight.

Katanya, Zahid juga boleh berehat untuk menyelamatkan parti dengan menyerahkan kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, sehingga pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini.

“Kita boleh minta beliau berundur atau bercuti dan berbesar hati sebagai seorang pejuang untuk selamatkan parti dengan beri ruang kepada jentera parti buat kerja.

“Zahid perlu bersetuju untuk berundur dan menyerahkan jawatan kepada timbalannya untuk mengetuai Umno pada masa ini,” katanya.

Malaysiakini juga sebelum ini melaporkan desakan serupa, yang mana Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang meminta presiden Umno berehat secara terhormat.

Jelasnya, apa yang disuarakannya adalah pandangan peribadi bagi melihat parti itu kembali meraih kepercayaan rakyat dalam PRU-15.

Zahid pada 2018 pernah “bercuti” dan menyerahkan tugasnya, termasuk termasuk jawatan pengerusi BN, kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah pimpinannya.

Selepas setahun, Zahid bagaimanapun kembali memegang jawatan itu.

Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin pula dipetik sebagai berkata pandangan mereka itu bukan tidak hormatkan Zahid sebagai presiden parti sebaliknya kerana mereka lebih sayangkan parti.

“Saya hanya mahu lihat pembaharuan dalam parti… tiada apa-apa yang saya nampak dilihat (untuk) meremajakan parti ini,” katanya.

Zahid kini berdepan 47 tuduhan jenayah melibatkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Dia juga didakwa menyokong usaha Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru menggantikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN), yang akan bekerjasama dengan DAP.

Bekas setiausaha agung BN yang disingkir Annuar Musa baru-baru ini mendedahkan surat sokongan Zahid kepada presiden PKR bukan surat palsu.

Surat Zahid itu dikatakan dipersembahkan pemimpin pembangkang kepada Yang di-Pertuan Agong serta tersebar pada pertengahan Oktober lalu, bukan surat palsu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam Mohamad Anis Md Yusof berkata sentimen yang mahu Zahid berundur bukan hanya dalam kalangan ahli Umno.

“Ada juga dalam kalangan penyokong Umno… maksudnya bukan ahli Umno yang melihat kedudukan presiden pada hari ini sangat lemah,” katanya.

Bagaimanapun beliau berpendapat Zahid mungkin masih boleh mempertahankan jawatannya kerana sentimen pemilihan di akar umbi lazimnya dipengaruhi oleh pilihan ketua bahagian.

“Kebanyakan akar umbi buat pemilihan berdasarkan ‘sustainable’ pemimpin bahagian. Mungkin pemimpin bahagian memilih orang itu sebagai presiden jadi akar umbi pun pilih orang itu sebagai presiden. Itu yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Rizam Ismail berkata perbahasan mengenai siapa layak memimpin Umno sekarang hanya akan mengeruhkan keadaan dan boleh memusnahkan parti.

“Ini bukan masanya untuk kita berpecah-belah dan berantakan sesama sendiri. Sebaliknya, kita sebagai pemimpin di bahagian perlu tunjuk contoh yang baik kepada akar umbi.

“Sebagai pemimpin yang matang kita perlu menyeru kepada ahli-ahli agar merapatkan saf dan bersatu padu di belakang pemimpin utama kita iaitu presiden Umno,” katanya.

Lihat Komen
ADS