Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Orang Asli 'tersepit' di antara gelang merah, perut lapar

  • KEMASKINI 11PM | Polis Perak berkata pihaknya telah menyalurkan makanan kepada keluarga terbabit dan memaklumkan keadaan mereka kepada KKM dan JKM.

Di dapur, bekalan makanan yang ada memang masih berbaki, namun dalam keadaan sekarang, ia cuma mampu bertahan untuk seketika saja. Hanya ada kira-kira dua kilogram makanan yang tersira.

Justeru Bah Bakril Bah Jali dan tujuh lagi ahli keluarganya terpaksalah mengikat perut menahan lapar.

Sejak mereka dipakaikan gelang merah oleh pegawai Kesihatan Kementerian Malaysia (KKM) pada 25 Jan lalu, Bah Bakril berasa keliru mengapa mereka perlu menjalani kuarantin, sedangkan kawasan kampung mereka tidak berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Difahamkan, rumahnya di Kampung Simpang Puris Dalam di Tapah, Perak tidak termasuk dalam Kampung Orang Asli Jalan Batu 6 yang sedang menjalani PKPD sejak 21 Januari lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Bah Bakril, 31, berkata pada 25 Jan lalu kawasannya didatangi beberapa pegawai KKM yang meminta nombor kad pengenalan, nombor telefon dan menyuruh mereka memakai gelang berwarna merah tanpa membuat sebarang ujian calitan.

Kakitangan KKM itu kemudian meninggalkan kawasan tersebut dan tiada sebarang surat arahan diberi.

“Kami tak boleh keluar beli makanan, dan tak ada bantuan (makanan) juga.

“Jiran pula tak ada dan rumah kami jauh dari perkampungan yang terjadi (jangkitan dan diletakkan bawah PKPD).

“Duduk di pedalaman dan dalam begini, barang keperluan kami memang tak ada sejak 25 hari bulan,” katanya ketika dihubungi.

Panjat pokok untuk bercakap

Bah Bakril berkata di kawasannya tiada kedai untuk mendapatkan bekalan keperluan. Pada masa sama, katanya, mereka tidak boleh pergi ke mana-mana disebabkan memakai gelang merah.

“Buat masa sekarang beras kami tinggal dua cupak,” katanya.

Tidak cukup dengan kesukaraan itu, Bah Bakril dan keluarganya juga seakan 'terputus' daripada hubungan dengan dunia luar. Untuk bercakap dengan Malaysiakini, Bah Bakril memberitahu dia terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan isyarat telekomunikasi yang jelas dan stabil.

Pada 20 Jan lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD akan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang di Perak bermula 21 Jan hingga 3 Feb.

Saringan bersasar melibatkan 494 di lokaliti itu.

Memandangkan bantuan makanan hanya diagihkan kepada penduduk PKPD yang terlibat, Bah Bakril berkata, penduduk di kawasannya tidak menerima sumbangan berkenaan.

Buntu dengan situasi yang dihadapinya, dia dan pak ciknya membuat laporan polis untuk memaklumkan keadaan mereka. Bagaimanapun, dakwa Bah Bakril, dia "dihalau" kerana didapati sedang memakai gelang merah.

“Nak buat laporan untuk minta bantuan daripada kerajaan. Kami tak dapat apa-apa (bantuan makanan).

“(Tapi) Sebelum tu balai bergerak halau kami. Sebab kami pakai gelang merah. Padahal kami bukan kawasan PKPD,” katanya.

Menurut Bah Bakril, di kawasannya ada tiga buah rumah yang keseluruhannya didiami oleh enam dewasa termasuk dirinya, dan dua kanak-kanak. Mereka merupakan saudara-maranya.

Lokasi kediamannya terletak di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai jiran lain. Malah, perjalanan untuk ke kampung berdekatan mengambil masa satu jam menaiki motosikal.

“Pihak KKM memang lepas tangan macam tu saja. Kami tak tahu hala tuju kami nak ke mana (untuk dapatkan makanan).

“Nak ke kedai tak boleh, nak keluar seperti tengah hari tadi kena halau... kami takut nak keluar,” katanya.

Selain berlapar dan berjimat cermat menggunakan beras yang ada, katanya, pagi tadi mereka sekeluarga hanya makan ubi kayu sebagai pengalas perut.

“Kami tiada langsung bekalan (makanan). Kenapa dan mengapa kami dipakaikan gelang merah sedangkan kami bukan dalam kawasan (PKPD)?” soalnya.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi kemudian, berkata pihaknya telah menyalurkan bekalan makanan kepada keluarga berkenaan sebaik mendapat tahu tentang apa yang berlaku.

Pihak KKM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dimaklumkan berkenaan keadaan mereka, kata Mior kepada Malaysiakini.

Berkenaan dakwaan dihalau pula, Mior berkata berlaku "salah komunikasi" dan polis melarang mereka keluar kerana gelang merah yang dipakai.

Malaysiakini telah menghubungi KKM untuk respon dan difahamkan Jabatan Kesihatan Perak sedang menjalankan siasatan.

Mereka dijangka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. 

Lihat Komen
ADS