Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri dan KKM sedang siasat, nafi beri izin Mestron runding vaksin

Kementerian Kesihatan menyangkal kenyataan Mestron Holdings Bhd bahawa syarikat itu menerima surat kebenaran daripada kementerian itu untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

KKM juga sedang menyiasat syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia itu berkaitan dakwaan tersebut.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengesahkan tiada surat keizinan yang dikeluarkan kepada syarikat itu.

"Bagi pihak saya sendiri sebagai menteri saya tiada mengeluarkan apa apa surat sokongan kepada syarikat tersebut," kata Adham kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

"Ya saya sudah sahkan dengan timbalan menteri. Dia pun sudah sahkan  setiausaha sulit kanan beliau memang tidak mengeluarkan surat sokongan atau kebenaran," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai perjanjian Mestron dan sedang meneliti dakwaan itu.

"Sepengetahuan saya, tidak ada libat urus seperti itu dengan mana-mana syarikat swasta (telah dibuat) [...]

"Kami sedang menyiasat dakwaan itu," katanya.

Mestron, syarikat yang mengkhususkan dalam sektor pembuatan tiang keluli untuk lampu jalan membuat pengumuman semalam dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pengarah Urusan Por Teong Eng berkata syarikat telah menerima "surat izin daripada Kementerian Kesihatan."

Mestron mengulangi dakwaannya hari ini mengenai surat kebenaran itu dengan menjelaskan surat bertarikh 8 Jan, 2021 membolehkan syarikat mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin Covid-19 di negara ini.

Ada halangan pendaftaran

Ini selepas Kementerian Kesihatan menolak laporan berita mengenai perkara itu.

"KKM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kelulusan atau surat kebenaran kepada swasta atau pihak lain untuk membeli atau mengedar vaksin Covid-19 di Malaysia.

"Setakat ini hanya KKM sahaja diberi peruntukan kuasa untuk mengurus akses dan membeli vaksin Covid-19, selaras dengan tugas KKM menguatkuasakan hal ehwal perubatan menerusi agensinya NPRA dan NCD.

"Pihak KKM berharap kesalahan laporan dalam artikel tersebut dapat diperbetulkan demi mengelak kekeliruan dan sebarang manipulasi lain oleh pihak tidak bertanggungjawab," kata KKM.

Dalam pemfailan di bursa saham semalam, Por mengumumkan Mestron telah bersetuju untuk memulakan perbincangan dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co Ltd yang berpangkalan di China untuk bekerjasama dalam pengedaran vaksin China National Pharmaceutical Group (Sinopharm) Covid-19 di Malaysia.

Dia berkata Zhongyu Yexing telah bersedia untuk memberikan kira-kira tiga juta dos apabila vaksin itu diluluskan di Malaysia, dan menambah Mestron dijangka akan melabur sehingga RM20 juta dalam usaha sama tersebut.

Kedua-dua vaksin Sinopharm masih dalam ujian klinikal fasa tiga dan belum ada yang diluluskan untuk digunakan di Malaysia.

Noor Hisham menegaskan malam ini bahawa vaksin hanya boleh diberikan jika ia diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Semua vaksin mesti didaftarkan di bawah NPRA. Itu syarat wajib,” katanya kepada Malaysiakini.

NPRA telah memberikan pendaftaran bersyarat hanya terhadap vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 setakat ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mestron enggan memberikan komen lanjut berhubung isu berkenaan.

[Baca laporan asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS