Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mestron dakwa dapat kebenaran KKM edar vaksin Covid-19 dari China

Mestron Holdings Bhd hari ini mengulangi bahawa pihaknya telah menerima surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Mestron menjelaskan surat bertarikh 8 Jan, 2021 membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin Covid-19 di negara ini.

Mestron kini dalam proses rundingan dengan Zhongyu Yexing (Chengdu) Industrial Co., Ltd. mengenai perincian bagi potensi kerjasama.

“Selepas kami menetapkan terma-terma dengan Zhongyu Yexing, kami akan menghantar permohonan kepada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk mendaftarkan dan memperoleh kelulusan bagi pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia,” menurut syarikat itu.

Pada Jumaat, Mestron menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Zhongyu Yexing untuk memulakan perbincangan mengenai struktur dan terma-terma cadangan kerjasama yang berkaitan dengan pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Kedua-dua pihak menjangka dapat memuktamadkan dan memeterai perjanjian definitif dalam tempoh 30 hari selepas perbincangan dan rundingan selesai.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS