Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rogol di lokap polis: Kertas siasatan di tangan AGC

Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail mengesahkan bahawa siasatan ke atas kes rogol yang didakwa berlaku tiga minggu lalu di sebuah pusat tahanan polis di Miri sudah selesai.

Katanya, kertas sisatan telah dihantar ke Bukit Aman serta Pejabat Peguam Negara (AGC) minggu lalu untuk tindakan lanjut.

“Kami dah selesai siasatan dan laporan telah dihantar ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Bukit Aman serta pejabat peguam negara Selasa lalu.

“Pihak tersebut akan meneliti hasil siasatan serta cadangan, kami juga sedang menunggu lampu hijau dari Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” kata Aidi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini ketika ditanya bila anggota polis yang bertugas sewaktu kejadian itu akan didakwa

Pada 16 Januari lalu, Senator DAP Alan Ling mendedahkan, bahawa seorang gadis berumur 16 tahun telah dirogol oleh seorang tahanan lain yang berusia 19 tahun ketika berada di lokap Miri Central di Sarawak. Mangsa kemudian membuat laporan polis susulan kejadian tersebut.

Kes tersebut didakwa berlaku pada 9 Januari ketika tahanan lelaki yang didakwa mempunyai kunci untuk ke tandas tetapi telah membuka sel tahanan gadis itu lalu merogolnya.

Dua anggota polis yang bertugas semasa kejadian telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Lelaki itu kemudiannya dihadapkan ke mahkamah pada 12 Januari lalu atas kesalahan merogol dan mengaku bersalah.

Bagaimanapun tiada hukuman dijatuhkan susulan menunggu laporan sosial. Kes itu akan disebut semula di mahkamah Miri pada 9 Februari.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata semua individu yang terlibat dalam kejadian itu akan didakwa di mahkamah, namun tidak mengulas lanjut jika ini termasuk anggota polis yang cuai.

Polis kemudian mendapati, kamera litar tertutup (CCTV) di lokap itu tidak mempunyai fungsi rakaman dan hanya mampu dipantau oleh anggota yang bertugas. Oleh itu, tiada bukti rakaman dapat dikemukakan.

[Baca berita penuh]


Lihat Komen
ADS