Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usaha polis Ranau elak pelajar belajar bawah pokok kelapa sawit
Diterbitkan:  Feb 3, 2021 7:48 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Polis di Ranau, Sabah bergotong-royong membina pondok di kawasan pedalaman untuk membantu pelajar mendapat capaian internet bagi men gikut proses pembelajaran dalam talian (PdPR).

Program tersebut yang diketuai ketua polis Ranau, DSP Sammy Newton, diadakan minggu lalu di Kampung Paus, 70 km dari ibu pejabat polis Ranau.

Menurut pihak polis, pelajar di kawasan pedalaman tersebut terpaksa memanjat bukit untuk mengikuti kelas dalam talian kerana capaian internet di rumah mereka agak lemah.

Oleh itu, pihak polis membina pondok yang dilengkapi kerusi dan meja supaya pelajar dapat belajar dengan lebih selesa, kata pihak polis dalam hantaran di akaun Facebook Polis Daerah Ranau.

“Semoga dengan usaha murni ini akan dapat membantu para pelajar mengulangkaji pelajaran dalam keadaan yang selesa dan selamat serta memudahkan segala urusan yang berkaitan dengan pembelajaran talian internet,” kata Polis Daerah Ranau.

Pihak polis juga menyumbangkan penutup muka, cecair membasuh tangan dan bakul makanan kepada pelajar-pelajar tersebut.

Usaha ini membantu lebih daripada 10 pelajar dari kampung tersebut yang sebelum ini terpaksa mengikuti kelas dalam talian sambil duduk di bawah pokok kelapa sawit.

Semua pelajar dari peringkat sekolah kebangsaan hinggalah ke institusi pengajian tinggi dikehendaki untuk belajar secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Kebanyakan pelajar dari kawasan pedalaman tidak dapat mengikuti pembelajaran secara maya atas kekangan capaian internet yang kurang baik.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan pelajar Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Orang Asli Kemidak, Bekok, Johor terpaksa meninggalkan rumah mereka bagi mencari capaian internet yang stabil.

Mereka dilaporkan menghadapi risiko diserang haiwan liar dan sering digigit nyamuk, namun tidak melunturkan semangat komuniti ini untuk terus menimba ilmu.

Begitu juga, dengan remaja di Kampung Bomboi, Sabah turut mengalami masalah yang sama.

Remaja di Kampung Bomboi membina pondok beratapkan guni terpakai di sebuah kawasan terbiar kerana capaian internet di sana lebih baik daripada di rumah.

Tahun lalu, kisah pelajar universiti dari Pitas, Sabah, Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mengambil peperiksaan, akibat masalah capaian internet, menjadi tular.

Pihak kerajaan pada mulanya mengatakan bahawa pelajar tersebut hanya membuat lakonan untuk mendapatkan perhatian warganet.

Reaksi ini mendapat kecaman hebat dari orang awam. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS