ULASAN l Dengan kes Covid-19 terkumpul sebanyak 226,912 dan 809 kematian hingga 3 Februari, ekonomi yang menguncup 8.3 peratus pada enam bulan pertama tahun lalu dan pengangguran yang menghampiri 765,000 atau 4.8 peratus, khabar mengenai Malaysia bukanlah khabar yang menggembirakan

Itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada khabar rundung yang sedang menyelubungi kita.

Maka tidak hairanlah kalau semakin banyak orang - pakar dan tidak pakar - bimbang bahawa Malaysia telah menjadi negara gagal (failed state) atau menuju ke arah itu.

Apa pun keadaan sebenarnya, ciri-ciri "failed state" sudah pun kelihatan dan menjadi semakin jelas sejak rampasan kuasa luar Parlimen setahun lalu oleh Perikatan Nasional (PN).

Ada beberapa ciri negara gagal. Antaranya, pertama sistem politik telah merosot ke tahap di mana keadaan biasa serta tanggungjawab harian sebuah kerajaan berdaulat tidak lagi beroperasi secara tersusun.

Kedua, kerajaan telah hilang kesahihan (legitimacy) walaupun masih menjalankan fungsi pemerintahan dengan teratur.

Bagi mewujudkan sebuah negara yang stabil dan berjaya adalah penting bagi kerajaan sesebuah negara mentadbir dengan berkesan dan mempunyai keabsahan (legitimacy).

Apabila sesebuah negara menjadi lemah dan taraf hidup rakyat jelatanya merosot, ia boleh membawa kepada keruntuhan mutlak kerajaan yang ada.

Malang bagi kita, kebanyakan ciri yang disebutkan di atas bukan saja ada malah amat jelas.

Penularan wabak Covid-19 semakin teruk berbanding sebelum rampasan kuasa, ekonomi merudum, rakyat jelata menderita dan kerajaan gagal membuktikan keabsahannya melalui undi Parlimen.

Sebaliknya kerajaan PN yang melabelkan dirinya sebagai kerajaan Melayu-Islam telah mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen. Kebanyakan negara gagal di dunia tidak demokratik dan takut kepada suara rakyat jelata mereka sendiri. Secara kebetulan kita dan Burma sekarang berada dalam bakul yang sama.

Kalau kita mahu menyekat aliran ke arah negara gagal dan menyelamatkan Malaysia sekali lagi, kita wajib lakukannya sekarang.

Sehingga pilihan raya umum yang baru dapat diadakan, kita memerlukan sebuah kerajaan perpaduan nasional yang non-partisan untuk memerintah. Politik kepartian kita sudah hilang kewibawaan. 

Kita menerlukan permulaan baru!


A KADIR JASIN ialah wartawan veteran, bekas penasihat media Dr Mahathir Mohamad dan pernah menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.