Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO mohon sultan Selangor campur tangan isu nyah warta hutan simpan
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) memohon Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan dalam rancangan kerajaan negeri untuk menyahwarta 931 hektar daripada hutan simpan di Kuala Langat.

Exco Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Selangor, Damien Thanam mendakwa sebuah syarikat swasta yang mempunyai kaitan dengan istana Selangor dikatakan terlibat dalam rancangan untuk membangunkan kawasan itu seperti dilaporkan media.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada Februari tahun lepas berkata, kerajaan negeri merancang menggantikan kawasan tersebut - yang mahu dibuat projek pembangunan bercampur - dengan kawasan gabungan rizab baru lebih luas, merangkumi “sekurang-kurangnya” 1,092 hektar.

Media The Straits Times Singapura memetik sumber rasmi yang berkata Menteri Besar Diperbadankan yang diuruskan kerajaan negeri akan memiliki sejumlah 364ha daripada pembangunan yang dicadangkan, sementara baki 566.56ha lagi akan diberikan kepada Titan Jutaria, syarikat swasta yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan istana Selangor.

“Nama kerabat Sultan Selangor dikaitkan dengan sebuah syarikat yang dikatakan terlibat di dalam projek itu seperti yang tersebar dalam artikel-artikel media.

“Jadi untuk menepis atau meneutralkan dakwaan ini, sultan wajar turut serta dan berbincang dengan kerajaan Selangor atau mengarahkannya membatalkan rancangan untuk menyahwarta hutan itu,” kata Divean.

Katanya lagi, dalam titah ucapan semasa pembukaan sidang DUN Selangor pada 2019, sultan telah mengingatkan kerajaan negeri untuk melindungi kawasan hutan simpan di negeri berkenaan.

Terdahulu, PHSKLU mengadakan sidang media maya bagi menyampaikan hasrat mereka untuk terus menekan Amirudin untuk membatalkan projek itu, bagi memelihara hutan gambut berusia 8,000 tahun itu.

Fasa kedua kempen dilancarkan

Pengerusi Klima Action Malaysia (Kamy) Ili Nadiah Dzulfakar berkata gabungan itu telah melancarkan fasa kedua kempen mereka bagi menarik orang awam turut serta memberi tekanan kepada kerajaan negeri.

Orang awam - tidak semestinya tinggal di Selangor - boleh melawat laman web Greenpeace dan mengisi borang bagi menyuarakan bantahan mereka.

Kempen itu berjalan bermula hari ini sehingga 14 Mac.

Fasa pertama kempen itu, yang dilancarkan Oktober tahun lepas, berjaya mendapatkan kesemua 71 Adun dan ahli parlimen di Selangor untuk membantah penyahwartaaan berkenaan, menyaksikan usul bagi menggesa kerajaan negeri mempertahankan status pewartaan hutan simpan dan memeliharanya dengan baik, diluluskan DUN Selangor.

“Kempen ini bukan hanya untuk penduduk di Kuala Langat atau Selangor, tetapi ia untuk semua orang termasuk komuniti antarabangsa.

“Anda digalakkan menyuarakan bantahan anda,” katanya.

Meskipun berdepan bantahan, Amirudin berkata kerajaan negeri masih mempertimbangkan untuk tetap menyahwarta kawasan berkenaan. Kenyataannya itu menimbulkan kemarahan NGO-NGO antarabangsa.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Suresh Kumar Balasubramaniam berkata gabungan itu sedang dalam perbincangan dengan peguam untuk melihat kemungkinan tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, dia mengakui Amirudin tidak boleh didakwa jika dia mengabaikan keputusan sebulat suara di DUN.

“Dia tak terikat secara undang-undang. Menteri besar dan exco tak semestinya harus mengikut apa-apa usul yang dibentangkan di dewan.

“Itulah kelemahan sistem demokrasi kita,” tambahnya.

[Baca laporan asal]


Lihat Komen
ADS