Perwakilan ke Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa pucuk pimpinan parti itu supaya membuat pendirian jelas dalam isu-isu berbangkit yang kini menghantui ahli-ahli parti itu, seperti dalam isu agama.

Wakil dari Kelantan, Nik Aziz Nik Husin berkata, barisan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mesti yakin dan jelas halatuju dan pendirian mereka dalam semua isu supaya ahli-ahli parti tidak keliru dan terikut-ikut dengan sikap dan ketetapan parti-parti lain.

Dalam soal agama, katanya, kepimpinan PKR mesti membuat pendirian jelas kerana sikap membisu seperti yang diamalkan sekarang hanya membuat ahli parti itu yang pelbagai kaum dan latarbelakang, menjadi keliru.

"Sebagai sebuah parti pelbagi kaum, isu agama yang sensitif itu perlu ditangani dengan baik dan diperjelaskan pendirian kita. Mungkin beberapa pemimpin parti yang mahir dalam selok-belok agama dan undang-undang perlu turun padang untuk memberi penjelasan," tambahnya.

Mengenai isu berhubung krisis antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Nik Aziz yang berucap membahaskan ucapan dasar presiden petang ini berkata:

"Dalam soal Umno dan pergeseran antara kedua pemimpin mereka itu, pemimpin kita perlu tegas, jangan masuk campur dalam urusan mereka. Kita jangan jadi seperti parti lain yang dulunya mengutuk Dr Mahathir tapi kini meyokong dan mengagung-agungkan beliau pula."

Agenda reformasi

Kepimpinan parti itu juga diminta beristiqamah dalam perjuangan dan jangan bersikap elitis jika mahu memperjuangkan agenda reformasi dan .

Malah kalangan tertentu dalam parti itu turut diingatkan supaya jangan sekali-kali memikirkan hanya melalui Umno, seseorang itu dapat diangkat memimpin negara.

"Jangan ada dalam pemikiran kita bahawa hanya melalui Umno kita boleh memerintah. Jangan lagi timbul isu mahu menyertai semula Umno," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa ahli dan saf kepimpinan PKR perlu memastikan kelangsungan parti supaya segala tanggapan yang menyamakan parti itu akan menerima nasib seperti parti negara dan parti Melayu Semangat 46 meleset.

Seorang lagi perwakilan, Razali Alias dari Pahang pula menegur ahli-ahli MPT yang enggan turun padang bersama rakyat.

"Pucuk pimpinan jangan bersikap elitis dan tidak sanggup bersama rakyat. Turun-turunlah ke bahagian kerana ramai pemimpin dan ahli akar umbi tidak kenal pemimpin mereka," tambahnya.

Katanya lagi, banyak masalah di bahagian tidak diselesaikan dan pucuk pimpinan perlu kerap turun ke bawah bagi membantu menanganinya.

Pemimpin idola

Tegasnya lagi, anggota MPT juga jangan terlalu asyik berpolitik hingga lupa tanggungjawab sebenar yang terpikul di bahu mereka.

Wakil dari Perak, Mohamad Fauzi pula meminta pucuk pimpinan parti membawa masuk seorang pemimpin kaum Cina yang boleh dijadikan idola oleh masyarakat itu.

Menurutnya, dengan adanya seorang pemimpin idola, kerja menarik masyarakat Cina ke dalam PKR akan menjadi lebih mudah sebagaimana terbukti dengan kemasukan Datuk K S Nalakaruppan ke dalam parti itu yang berjaya menarik beribu-ribu orang India ke dalam PKR.

Nallakaruppan menyertai PKR bulan lalu serta membawa bersamanya lebih 2,000 penyokong kaum India menyertai parti tersebut.

"Masyarakat Cina perlukan seorang idola untuk menjadi ikutan mereka. Kalau boleh biarlah seorang usahawan atau tokoh perniagaan yang berjaya. Pemimpin kaum Cina yang ada dalam PKR sekarang tidak cukup berpengaruh untuk memikat lebih ramai kaum Cina," kata Fauzi lagi.