Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes rogol dalam lokap: Suspek tarik balik pengakuan bersalah, 2 polis didakwa

Dua anggota polis dihadapkan dengan pertuduhan pengabaian berhubung kes rogol seorang tahanan lokap Balai Polis Miri pada awal Januari lalu.

Tertuduh kes itu, yang juga merupakan tahanan lokap, juga telah menukar pengakuannya kepada tidak bersalah, menurut peguam mangsa Alan Ling.

Tertuduh juga diwakili peguam yang sama dengan dua anggota polis tersebut.

Ling berkata, dua anggota polis itu, Brase Omang, 55, dan Edmund Jali, 44, yang bertugas ketika kejadian berlaku dihadapkan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 di Mahkamah Majistret Miri hari ini.

Menurut kertas pertuduhan, mereka juga dihadapkan dengan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 166 Kanun Keseksaan, berhubung penjawat awam yang mengingkari undang-undang dengan niat menyebabkan bencana kepada individu lain.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Masing-masing dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan. Bagaimanapun ikat jamin tersebut hanya perlu dibayar jika mereka gagal hadir ke mahkamah nanti.

Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 antaranya berkenaan kesalahan mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak "dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi, atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan."

Seksyen 3(1)(a) membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 166 Kanun Keseksaan pula membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun, hukuman denda atau kedua-duanya sekali.

Brase diwakil peguam Ranbir Singh Sangha manakala Edmund diwakili Gurvir Singh Sandhu.

Majistret Md Syafique Md Hilmie menetapkan 22 Februari untuk sebutan kes.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya Musli Abdul Hamid, Nurfadlin Mahmad Zulhasnan, Danial Ilham dan Rishan Kumar Ragandaran.

Suspek tarik balik pengakuan bersalah

Sementara itu, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 19 tahun yang mengaku bersalah pada 12 Januari lalu menarik semula pengakuannya.

Ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Miri hari ini, suspek yang diklasifikasikan sebagai "pesalah muda" di bawah Kanun Tatacara Jenayah, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Justeru, hakim yang sepatutnya menjatuhkan hukuman hari ini selepas memeriksa laporan sosial suspek, tidak dapat dilakukan susulan perubahan pengakuan tersebut.

Mengikut Seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah, hakim mempunyai budi bicara untuk menukar hukuman terhadap pesalah muda kepada dibebaskan selepas memberi teguran, diserahkan kepada penjagaan ibu bapa, penjaga atau saudara yang bertanggungjawab bagi kelakuan baik pelaku bagi tempoh tidak lebih 12 bulan, atau melakukan khidmat masyarakat tidak lebih 240 jam.

Seorang pesalah muda juga boleh dijatuhkan hukuman "sebatan ringan" sebanyak 10 kali.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan RM4,000 perlu didepositkan oleh dua penjamin tempatan.

Mahkamah juga mengarahkannya agar tidak mengganggu mangsa dan keluarga sepanjang tempoh perbicaraan dan melapor diri di Balai Polis Pusat Miri setiap dua minggu.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama tertuduh bagi melindungi identiti mangsa.

Hakim Jason Juga menetapkan 10 Mac untuk pengurusan kes.

Ling, yang juga senator daripada DAP, dan seorang lagi peguam mangsa, Lawrence Low menjadi peguam pemerhati bagi pihak mangsa.

Pada 16 Januari lalu, Ling mendedahkan seorang wanita berusia 16 tahun telah dirogol oleh seorang tahanan lain ketika dalam tahanan lokap di Balai Polis Miri.

Mangsa kemudian membuat laporan polis.

Dalam laporannya, mangsa mendakwa tahanan lelaki itu mempunyai kunci, membuka pintu sel lokapnya dan merogolnya di tandas lokap.

Dua anggota polis yang bertugas ketika itu telah digantung berikutan kejadian itu.


Lihat Komen
ADS