Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PMO mahu ambil tindakan undang-undang pada Puad jika tak minta maaf
Diterbitkan:  Feb 9, 2021 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi.

Ini selepas Puad mendakwa menerusi Facebook bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pegawainya enggan menjalankan kuarantin ketika tiba ke tanah air selepas lawatan ke Jakarta, Indonesia.

Puad juga mempersoalkan adakah keengganan Muhyiddin dan pegawainya menjalani kuarantin selama 10 hari menyebabkan Menteri Kesihatan Adham Baba mengeluarkan surat arahan baru melalui Warta Persekutuan untuk menetapkan bahawa kuarantin menteri yang keluar negara hanya memerlukan tiga hari.

Dalam satu kenyataan, PMO menafikan dakwaan itu yang disifatkan sebagai berniat jahat untuk mencemarkan nama baik perdana menteri.

"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap beliau sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka," katanya.

Tambah kenyataan itu, Muhyiddin telah dikuarantin di rumah dan dipakaikan gelang kuarantin setibanya dari Jakarta pada 5 Februari.

Malaysiakini telah menghubungi Puad untuk mendapatkan komen.

Semalam, Dr Adham mengeluarkan perintah untuk melonggarkan peraturan kuarantin bagi anggota kabinet, sehingga mengurangkan tempoh kuarantin yang diperlukan dari 10 hari menjadi tiga hari.

Dr Adham mempertahankan keputusan itu, mengatakan kuarantin tiga hari itu hanya akan diberikan jika para menteri mematuhi dengan ketat "gelembung perjalanan" (travel itinerary) selama kunjungan mereka ke luar negara.

"Setiap menteri kabinet mesti meminta persetujuan dari perdana menteri dan kabinet sebelum melakukan perjalanan ke luar negeri. Hanya jadual perjalanan yang ketat yang dapat diizinkan untuk tujuan ini.

"Saya akan menilai, dan jika mereka gagal mengikuti jadual kunjungan kerja, kita kenakan 10 hari (kuarantin). Itu jelas," katanya seperti petik oleh CodeBlue.

Dia menambah bahawa pegawai yang menyertai delegasi menteri yang membuat perjalanan ke luar negara masih harus dikuarantin selama 10 hari.

Lihat Komen
ADS