Menyambut perayaan semestinya tidak lengkap tanpa orang tersayang di sisi. Kebiasaannya apabila menjelang apa jua hari perayaan, mereka yang berada jauh akan pulang dan yang dekat juga akan datang.

Dalam masyarakat Tionghua, menjelang hari Tahun Baru Cina mereka akan mulakan dengan tradisi sembahyang kepada nenek moyang dan makan besar bersama seluruh ahli keluarga terdekat.

Namun, seperti perayaaan masyarakat lain sebelum ini, tahun lembu kali ini turut memberi suasana baru kepada masyarakat Cina apabila terpaksa meraikannya dengan norma baru serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Anak-anak yang tinggal jauh tidak dapat pulang ke kampung, nenek dan datuk menyimpan rindu yang dalam terhadap cucu-cucu, hilai tawa adik-beradik hanya boleh didengari dari kejauhan.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa lokasi di Kelantan mendapati sambutan Tahun Baru Cina diadakan dengan penuh kesederhanaan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.

Tiada majlis makan besar di hotel dan restoran terkemuka, tiada acara Yee Sang dan kebanyakan mereka memilih untuk meraikannya secara ala kadar.

Bagi Chan Soon Seng (gambar), 58, majlis makan besar pada tahun ini hanya ditemani isterinya Lam Yoke Fong, 57, susulan tiga cahaya mata mereka tidak dapat pulang ke kampung halaman di Guchil, Kuala Krai.

Katanya, pada tahun-tahun lalu Tahun Baru Cina diraikan dengan meriah seperti mana perayaan kaum-kaum lain juga.

"Kali ini rasa amat sedih juga, ini kali pertama makan besar tanpa anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Rasa agak sunyi.

"Anak pertama saya bekerja di Cameron Highlands, anak kedua di Terengganu dan anak bongsu di Kuala Lumpur. Semuanya tak dapat pulang. Makan besar berdua sajalah tahun ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

'Semoga Covid-19 tak lagi mengganas'

Chan berkata, apa yang lebih penting kini adalah seluruh masyarakat fokus terhadap usaha mengekang wabak Covid-19 dan dia berharap ia berjaya dikawal sepenuhnya secepat mungkin.

"Harapan saya sempena tahun baru ini semoga Covid-19 tidak lagi mengganas dan kita semua boleh kembali hidup dengan harmoni dan bahagia," ujarnya yang merupakan seorang peniaga.

Sama seperti perayaan masyarakat lain sebelum ini, perjalanan rentas daerah dan negeri juga masih tidak dibenarkan pada masa ini.

Upacara sembahyang dan kegiatan keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari dibenarkan tetapi dengan SOP yang ketat.

Sementara itu di Wakaf Bharu, Tumpat, keluarga Pui Tiong Lam, 56, turut mengadakan majlis makan besar dengan sederhana.

Jika tahun-tahun sebelum ini acara tahunan itu berlangsung di hotel, namun pada kali ini, dia berkata mereka hanya meneruskan tradisi itu di kediaman sahaja.

"Tiga anak saya tak dapat pulang, hanya seorang saja yang tinggal bersama. Seorang tinggal di daerah Pasir Mas, anak kedua bekerja di Kuala Lumpur dan yang bongsu sedang belajar di Bintulu, Sarawak.

"Jadi hari ini isteri hanya sediakan hidangan stimboat sebagai juadah makan besar dan turut disertai seorang abang saya," katanya ketika ditemui di Kampung Kulim, semalam.

Pui Tiong Lam mengubat rindu dengan membuat panggilan video kepada anaknya di Bintulu.

Tambah Pui, keadaan Covid-19 yang belum reda membuat perasaan dan semangat mereka untuk menyambut kehadiran tahun lembu kali ini sedikit sebanyak berkurang.

"Persiapan pun ala kadar saja, cuma buat persiapan sedikit dengan beli bekalan makanan dan minuman. Baju baru pun tak beli tahun ini. Angpow pun beri secara dalam talian.

"Sambil makan besar hari ini, saya ambil kesempatan untuk buat panggilan video dengan anak-anak yang tak dapat balik. Boleh tunjuk apa yang mak mereka masak dan tengok keadaan mereka," katanya.

Evone Lim (empat dari kanan)

Evone Lim, 60, pula memilih untuk menikmati kemeriahan Tahun Baru Cina dengan mengambil kesempatan memenuhi jemputan makan besar bersama keluarga di rumah ibu saudara di Kota Bharu.

Ia disebabkan tiga anaknya masing-masing berada di Australia, Singapura dan Sarawak dan tidak dapat pulang bagi meraikan bersamanya.

"Ibu saudara mengajak saya dan suami untuk makan besar di rumahnya, jadi kami sangat berbesar hati. Jika tidak, kami akan makan besar dengan suasana sunyi tanpa anak-anak di sini.

"Saya berharap keadaan ini segera pulih dan kita semua boleh bebas daripada pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi.