Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lepas rakyat bersuara barulah k'jaan terhegeh-hegeh ubah SOP'
Diterbitkan:  Feb 12, 2021 5:54 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Meskipun sudah setahun berlalu, kerajaan Perikatan Nasional masih belum cekap dalam menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang relevan untuk membendung Covid-19.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya dari PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hanya selepas kerajaan menerima kritikan, barulah SOP tertentu diubah.

"Selepas rakyat menyuarakan penentangan dan viral di media sosial, barulah kerajaan terhegeh mengubah SOP. 

"Dan akhirnya kita sentiasa keliru dengan SOP yang berkecamuk ke sana ke sini.

"Kita perlukan kerajaan kuat yang proaktif bukan reaktif seperti sekarang," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina.

Sebelum ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengubah prosedur operasi standard (SOP) bagi perayaan Tahun Baru Cina, selepas menerima kritikan terutama daripada masyarakat Cina.

Ini selepas MKN hanya membenarkan acara itu disertai ahli keluarga yang tinggal di rumah sama.

Selepas dikritik, kerajaan setuju membenarkan acara makan besar melibatkan ahli keluarga daripada rumah berbeza dengan syarat tidak melebihi 15 orang.

Sebelum ini kerajaan juga berdepan kritikan dalam isu pematuhan SOP terutama melibatkan ahli politik dan orang kenamaan yang didakwa berat sebelah.

Terbaru, ahli-ahli parlimen pembangkang membidas pengurangan tempoh kuarantin kepada menteri yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara, daripada 10 hari kepada hanya tiga hari.

Menurut Shamsul, ketika rakyat masih belum menang melawan pandemik Covid-19, tsunami ekonomi pula melanda negara.

"Segala statistik dan data ekonomi tidak menyebelahi kita ketika ini. KDNK menyusut 5.6 peratus terburuk dalam sejarah sejak tahun 1998. 

"Bagaimana mahu meyakinkan para pelabur sekiranya merangka SOP perayaan pun kerajaan kelam kabut.

"Berapa kali lagi kita perlu masuk ke gelanggang media sosial untuk mengajar kerajaan mengenai SOP yang betul?" katanya.

Lihat Komen
ADS