Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ras Adiba: M'sia digesa tandatangani Perjanjian Marrakesh, perkasakan OKU

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) digesa memperhebatkan usaha ke arah Malaysia menandatangani Perjanjian Marrakesh bagi memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan mendapatkan akses kepada pelbagai bahan bacaan.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata penerimaan kepada perjanjian tersebut akan mempercepatkan penambahbaikan dalam tiga kaedah penting iaitu akses digital, penerbitan yang boleh diakses dan akses rentas sempadan kepada bahan pembelajaran.

“Pertama, akses digital akan menghapuskan halangan sedia ada bagi membolehkan orang buta mengakses kepada laman web dan e-platform. Orang buta tiada lagi dikecualikan daripada melakukan fungsi dalam talian yang semakin menjadi ciri penting dalam kehidupan harian.

“Kedua, penerbitan yang boleh diakses….semua buku untuk penerbitan akan dihasilkan dalam format elektronik dan ketiga, akses rentas sempadan kepada bahan pembelajaran. Rakyat Malaysia yang cacat mengesan permukaan hasil cetakan boleh memanfaatakn perpustakaan negara lain di seluruh dunia untuk akses kepada pengetahuan dan bahan maklumat.

“Ini boleh mengatasi masalah ketandusan akses kepada pengetahuan dan bahan maklumat yang terkini dan sentiasa berkembang pesat,” katanya.

Ras Adiba berkata demikian dalam ucapannya pada konsert dalam talian ‘Majlis Muzik Tahun Baharu Cina oleh Kanak-Kanak dan Dewasa Muda Cacat Penglihatan’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Majlis tersebut dianjurkan bersama Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) dan Kumpulan Sokongan Keluarga Kebangsaan untuk Kanak-Kanak dan Orang Berkeperluan Khas.

Kesatuan Orang Buta Dunia (WBU) dan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) menandatangani Perjanjian Marrakesh pada 27 Jun 2013 dan perjanjian ini telah berkuat kuasa pada 30 September 2016.

Perjanjian ini berteraskan prinsip hak asasi manusia yang dianjurkan dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak-hak OKU.

Negara yanag menyertai perjanjian ini akan menikmati akses khas kepada penerbitan dalam bentuk Braille dan dalam bentuk cetak, audio dan digital serta bahan bahan bacaan lain tanpa ancaman melanggar hak cipta, justeru, mengurangkan jurang perbezaan akses kepada pendidikan bagi golongan cacat penglihatan.

Ras Adiba, yang juga presiden OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) domestik yang aktif memperjuangkan hak kebajikan OKU, berkata, rakyat Malaysia yang buta dan cacat penglihatan mempunyai hak yang sama untuk pendidikan, pekerjaan, pengunaan perkhidmatan perbankan dan pengangkutan awam dan menikmati semua aspek kehidupan.

Katanya dengan kedua-dua teknologi dan perisian, golongan OKU boleh mengkases kepada ilmu menerusi pembaca skrin, paparan Braille dan pengecaman petuturan.

“NCBM berkerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan akses kepada bahan pembelajaran dalam format yang boleh diakses oleh orang buta dan cacat penglihatan. Ini termasuk latihan pengeluaran komputer Braille,” katanya, sambil menambah penyelesaian sistemik memerlukan penyertaan aktif oleh lebih banyak kementerian dan entiti kerajaan.

Terdahulu, Ras Adibah mengucapkan tahniah kepada penganjur dalam mengatur acara muzikal dalam talian dengan penyertaan peserta dari lokasi berbeza di negara ini.

Sejumlah tujuh peserta terlibat dalam muzikal tersebut iaitu Justin Choy, 9, (piano), Loh Wee Han, 15, (guitar dan vokal), Ernest Teoh, 20, (biola), Natalia Lee, 8, (piano), Alan Cheah, 19 (keyboard dan vokal), Tan Ee Beng, 27, (Erhu) dan Samantha Khoo, 25, (seruling, piano dan vokal).

Dihoskan Wong Yoon Loong dari NCBM, konsert muzikal ini bertujuan membuka peluang kepada golongan ini menampilkan bakat mereka kepada umum serta mewujudkan kesedaran mengenai penyertaan OKU dalam menghiburkan rakyat Malaysia semasa perayaan Tahun Baru Cina.

- Bernama       

Lihat Komen
ADS