Malaysiakini
BERITA

Inisiatif Ikram bantu pemandu bas sekolah, PKS dan petugas baris depan

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2021, 12:57 pagi

Simpati dengan nasib pemandu bas sekolah yang hilang punca pendapatan dan peniaga kecil yang terjejas ketika pandemik Covid-19, Yayasan Ikram Malaysia (Ikram) membantu mereka dengan konsep ‘memberi kail bukannya ikan.’

Melalui Projek Seribu Harapan Sejuta Senyuman, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamsani Nasir berkata Ikram akan membeli sejumlah pek makanan tengah hari atau makan malam yang disediakan khas oleh peniaga kecil tersebut dan ia akan dihantar kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh, menggunakan perkhidmatan pemandu bas sekolah yang bertindak sebagai ‘runner’ atau penghantar.

Pek makanan yang berisi nasi putih, sayur, ikan/ayam berkuah itu berharga sekitar RM6 setiap pek.

“Antara pembekal makanan kita ni ibu tunggal… mereka ni kebanyakannya tinggal di PPR (Projek Perumahan Rakyat) Kota Damansara.

“Kita pun memang mensasarkan B40 yang ada sumber pendapatan dari mana-mana dan kita ambil peniaga kecil ini untuk dibantu tambah pendapatan yang terjejas,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dengan peruntukan yang agak terhad iaitu RM8,500 sebulan bagi keseluruhan kos, projek itu terdiri daripada mereka yang benar-benar layak dan terpilih iaitu enam peniaga makanan dan tiga pemandu bas.

Upah daripada tugasan itu sebanyak RM200 seminggu.

“Sekurang-kurangnya mereka ada pendapatan sedikit untuk berbelanja daripada tiada langsung,” katanya.

Menurut Kamsani, projek yang bermula sejak 8 Februari hingga Jun itu menumpukan kepada bekalan makanan untuk barisan hadapan di hospital Sungai Buloh kerana ia dilakukan berdasarkan keperluan hospital tersebut.

“Kita (Ikram) akan pastikan kita sediakan berdasarkan keperluan. Kita nak bersasar kalau (hospital) perlukan makan tengah hari atau makan malam.

“Kita tak nak bagi atas kepandaian kita saja sebab kadang-kadang ada benda yang dah ada orang lain sumbang juga. Kita rujuk pada hospital dulu,” katanya.

Menurut Kamsani, pada awalnya Ikram ingin menyediakan bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE), namun pihak hospital mengatakan bahawa mereka mempunyai bekalan PPE yang banyak.

Cuba bantu lebih ramai pihak

Ditanya mengenai bagaimana tercetusnya idea membantu peniaga kecil dan pemandu bas sekolah yang terjejas melalui projek ini, Kamsani berkata ia merupakan kesinambungan dari ‘suspended meal program’ kepada penduduk di PPR Kota Damansara.

Ia merupakan program yang melibatkan peniaga-peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 pada November lalu, di mana mereka menyediakan pek makanan tengah hari dan malam untuk diberikan kepada penduduk PPR Kota Damansara yang terpilih.

“Kita (pasukan Ikram) bincang bentuk bantuan yang macam mana, bagaimana nak salurkan dan siapa kita nak libatkan.

“Kita bincang bagaimana kita boleh bantu lebih dari satu pihak dan macam mana yang kita boleh bantu seperti mana yang kita lakukan ketika di projek sebelum ini,” katanya.

Katanya, pada mulanya untuk projek Seribu Harapan Sejuta Senyuman ini, Ikram bercadang untuk memberikan tugasan runner kepada pemandu teksi kerana mereka antara golongan yang terjejas.

Namun, apabila diteliti semula, Kamsani berkata pemandu bas sekolah lebih terjejas daripada pemandu teksi kerana tidak mempunyai penumpang ketika sekolah tidak dibuka.

Bagaimanapun, menurutnya antara cabaran yang dihadapi merupakan sasaran sumbangan untuk keseluruhan kos pagi program tersebut iaitu sebanyak RM50,000.

“Setakat ni bila kita buat crowdfunding untuk frontliners, dari segi sambutan tu kita belum mencapai sasaran lagi.

“Tapi kita telah diluluskan (tabung Ikram) peruntukan untuk gunakan apa yang ada daripada tabung kita tu untuk kita dahulukan.

“Harap-harapnya bila program ini berterusan, akan ada pihak yang bersimpati dan bersama-sama kami untuk membantu,” katanya.

Katanya, RM50,000 itu disasarkan untuk keseluruhan peruntukan program itu yang akan berlangsung sehingga Jun.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.