Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buku teks sekolah bukan alat propaganda, kata pakar

Buku teks sejarah bukanlah buku propaganda, tegas pensyarah kanan Jabatan Sejarah di Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Sahul Hamid Mohamed Maiddin.

Mengulas dakwaan kononnya buku teks Sejarah tingkatan empat memanipulasi fakta dan mengagung-agungkan komunis, kata Sahul, ia sudah mempersembahkan sejarah secara sangat adil dengan menampilkan semua pihak yang memperjuangkan kemerdekaan.

Dakwaan berkenaan dibuat Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dengan merujuk dua muka surat buku teks itu yang menceritakan peranan gerakan nasionalis Melayu radikal dalam perjuangan kemerdekaan dan gerakan Malayan People’s Anti-Japanese Army’s (MPAJA) menentang penjajahan Jepun.

Asyraf mendakwa ia merupakan usaha terancang kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menanam ideologi Malaysian Malaysia dan membuatkan pelajar menganggap sosialis dan komunis bukan fahaman buruk.

“Kita bercerita tentang buku teks, kita bukan bercerita tentang buku propaganda.

“Buku teks harus menceritakan keadaan sejarah itu berlaku, bagaimana (penjajahan) Jepun, adanya MPAJA, itu semua ada orang menubuhkan.

"Itu semua adalah sebahagian daripada sejarah kita. Jadi kalau nak buku teks sejarah, mestilah kena masukkan itu.

“Kalau baca secara adil, tidak ada emosi yang dimasukkan di situ, kita menyatakan: ‘ini yang berlaku’. Itu baru buku sejarah,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Untuk terap kefahaman pelajar

Sahul merupakan antara panel pembaca luar Dewan Bahasa dan Pustaka bagi buku teks sejarah untuk silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Dia juga terlibat dalam panel penyemakan kurikulum dan buku teks sejarah yang digagas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) setelah isu sama berkenaan kandungan buku teks berkenaan timbul pada Feb tahun lalu.

Mereka bersidang selama dua hari pada Nov tahun lalu bagi membincangkan perkara berkenaan.

Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Kata Sahul buku teks kali ini menampilkan semua pejuang kemerdekaan sejak sebelum penubuhan Umno pada Mei 1946 lagi. Hal itu kerana katanya pihak terbabit memang wujud dalam lipatan sejarah ke arah memperjuangkan kemerdekaan, termasuk golongan kiri yang disentuh dalam dua bab buku itu.

Malah, kata Sahul, ada satu bab yang khusus menyentuh mengenai ancaman komunis dan pengisytiharan darurat iaitu dalam bab keenam.

Dalam bab itu katanya kira-kira empat muka surat diperuntukkan bagi menceritakan keganasan dan ancaman komunis, manakala kira-kira 14 halaman lagi menceritakan usaha pasukan bersenjata Malaysia menanganinya.

Menurut Sahul ia disusun begitu bagi menerapkan kesedaran kepada pelajar bahawa ideologi komunisme tidak harus diterima berkembang di Malaysia.

Tambahnya, sekiranya dibaca dengan tenang dan tanpa emosi kepartian, buku teks itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa masalah daripada segi fakta.

“Sama sahaja dengan buku teks yang dahulu, cuma ada penyusunan semula bab-bab yang sudah menjadi berlainan,” katanya.

Sekadar terangkan fakta sejarah

Jelasnya, ekoran penyusunan semula mengikut KSSM, justeru ada bab yang dahulunya mungkin berada dalam tingkatan dua kini menjadi bab tingkatan empat, dan begitulah sebaliknya.

Hasilnya, kata Sahul, perjalanan silibus dari tingkatan satu hingga lima menjadi lebih bertema dan berkronologi, iaitu dari awal kerajaan Melayu lama, tamadun awal, perjuangan kemerdekaan, ancaman komunis, pembentukan Malaysia dan berlanjutan hingga pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Sementara itu Prof Madya Helen Ting Mu Hung dari Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (Ikmas) di Universiti Kebangsaan Malaysia turut memandang dakwaan Asyraf hanya sebagai interpretasi sendiri.

Helen Ting

Malah dia menyanggah dakwaan Asyraf bahawa muka surat 75 buku teks itu seolah-olah memfitnah orang Melayu sebagai “barua" Jepun untuk menentang komunis dan MPAJA.

“Apa yang dinyatakan pada muka surat 75 itu hanya sekadar menerangkan fakta sejarah, bahawa 'tentera Jepun menggunakan pasukan tentera atau polis yang dianggotai oleh orang Melayu untuk menentang MPAJA' yang menjadi punca ketegangan kaum kemudiannya,” kata Ting.

Tuduhan membuta tuli

Tambahnya, penerangan tentang kewujudan MPAJA untuk menentang tentera Jepun pada muka surat yang sama juga dibuat secara fakta, tanpa sebarang interpretasi yang mengagungkan MPAJA atau Parti Komunis Malaya (PKM).

“Saya memang tidak nampak di mana dalam buku teks tersebut ada mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Bahkan pada bab enam mengenai darurat, pengarang menerangkan tentang 'ancaman komunis' dan kesan buruk yang terjadi pada tempoh darurat.

“Jadi dakwaan Asyraf bahawa buku teks 'mengangkat dan menjulang anggota komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan' tiada asas, cuma interpretasi beliau sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik kelmarin menyelar Asyraf dan berkata KSSM bermula sejak 2017 lagi bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). 

Maszlee juga membidas Asyraf kerana membuat tuduhan ke atasnya dan PH "secara membuta tuli" dan meminta pemimpin Pemuda Umno itu mendapatkan maklumat mengenainya daripada pakar rujuk yang terlibat, iaitu Prof Madya Shamrahayu Aziz (UIAM); Prof Kamaruzaman Yusoff (UTM); Prof Emeritus Abdullah Zakaria Ghazali dan Dr Ho Hui Ling (UM); Prof Sivamurugan Pandian (USM); Prof Madya Rohani Abd Ghani (UKM) dan Prof Madya Bilcher Bala (UMS).

KPM semalam turut menegaskan buku teks Sejarah tingkatan empat melalui proses kawalan mutu yang ketat merangkumi pelbagai proses, sebelum diperakukan sejak April 2018.

Proses-proses tersebut, kata KPM, melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

Sokong buat laporan polis 

Pewasitan fakta yang dibuat melibatkan Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan setiausaha kerajaan negeri.

Tambah KPM, kandungan buku teks di bawah KSSSM berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011- 2012).

Sebelum dibangkitkan Asyraf, Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) terlebih dahulu dilaporkan membuat laporan polis berkenaan dakwaan sama, serta mengharapkan polis menjalankan siasatan dan mengharamkan buku teks berkenaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) dari UKM, Prof Teo Kok Seong, melihat laporan polis oleh Pembela itu sebagai satu hal yang baik kerana memberi ruang polis menyiasat dakwaan yang dikemukakan dengan memanggil pakar-pakar sejarah untuk melakukan semakan.

Namun, daripada pembacaannya, Teo berkata dia tidak mendapati buku teks itu memanipulasi fakta atau mengagung-agungkan komunis, baik secara tersurat mahupun tersirat seperti didakwa Pembela dan Asyraf.

Katanya, fakta-fakta yang dipertikaikan sudah dipersembahkan dengan adil, sama ada mengenai golongan kiri, MPAJA atau PKM.

“Satu lagi, kita pun harus waspada juga, sebab mungkin ada agenda politik kalau ia (gesaan itu) datang daripada orang politik. Kita pun tak boleh nak yakin 100 peratus fikir ia sesuatu yang jujur.

“[...] Jadi saya kira, yang baik di sini laporan polis telah dibuat dan polis akan siasat,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS