Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Polis S'pura pernah maklum BNM transaksi Jho Low dengan syarikat suami Zeti'
Diterbitkan:  Feb 27, 2021 11:11 PM
Dikemaskini: Mar 3, 2021 10:38 AM

Polis Singapura pernah membuat makluman kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung transaksi mencurigakan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, kepada syarikat milik suami dan anak lelaki Zeti Akhtar Aziz, ketika dia masih menjadi gabenor bank tersebut.

Laporan The Edge menyatakan dokumen dan komunikasi daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 ada mengongsikan maklumat transaksi melibatkan Iron Rhapsody Ltd kepada BNM.

Zeti hanya bersara daripada BNM pada April 2016.

Menurut laporan itu, transaksi dibuat pada 2008 dan 2009 dan dimaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016, apabila CAD mula menyiasat transaksi yang berkaitan 1MDB.

The Edge berkata dokumen yang dikongsikan CAD kepada pihak Malaysia menunjukkan akaun Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Jho Low.

Ia termasuklah AS$7.42 juta pada 18 Jun 2008, daripada syarikat Jho Low iaitu Butamba Investments Ltd, yang terlibat dalam urus niaga tanah bernilai RM3 bilion dengan Khazanah Nasional di Johor, hanya sebulan sebelumnya.

Jho Low dilaporkan mengaut untung RM400 juta daripada urus niaga itu setelah dia menjual kepentingannya dalam pemilikan tanah itu.

Satu lagi transaksi kepada Iron Rhapsody adalah sebanyak AS$732,000 pada 21 Mei 2009, daripada firma guaman Shearman & Sterling di Amerika Syarikat.

Firma guaman itu turut membuat pemindahan sebanyak AS$6.25 juta kepada Iron Rhapsody pada 17 Disember 2009.

Jho Low kemudiannya menggunakan Shearman & Sterling untuk mencuci dana 1MDB yang diselewengkan ketika fasa Good Star.

CAD Singapura juga memaklumkan dua lagi transaksi dari Jho Low kepada Iron Rhapsody, yang dianggarkan berjumlah AS$567,000 pada 1 Jun 2009 dan AS$1.25 juta pada 18 Disember 2009.

The Edge memetik CAD sebagai mengesahkan sumber semua dana yang dipindahkan kepada Iron Rhapsody pada 2009 adalah daripada keuntungan yang diraih Jho Low dan sekutunya daripada pengeluaran bon berjumlah RM5 bilion oleh 1MDB/Terengganu Investment Authority (TIA) pada Mei tahun yang sama.

Sementara itu, The Edge turut melaporkan yang suami Zeti, Tawfiq Ayman dipercayai salah seorang rakan niaga Jho Low dalam Abu Dhabi Malaysia Kuwait Investment Corporation (ADKMIC) ketika ia ditubuhkan pada 2007.

Menurut laporan, perkara itu didedahkan kepada CAD oleh seorang pegawai bank Singapura bernama Yak Yew Chee, yang kemudiannya dipenjara atas kesalahan bersubahat dengan Jho Low dalam skandal 1MDB.

Jho Low juga menggunakan ADKMIC antara 2011 dan 2013 untuk mencuci dana yang diselewengkan daripada 1MDB ketika fasa Good Star.

Dakwaan terhadap suami dan dua anak lelaki Zeti berkaitan dana 1MDB mula muncul pada Disember tahun lalu.

Antara dakwaan yang timbul adalah sebahagian dana yang diterima Iron Rhapsody kemudiannya dipindah kepada Cutting Edge Industries Ltd, yang turut memiliki akaun di Bank UBS Singapura.

Terdapat perakuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Tawfiq dan dua anak lelakinya Abdul Aziz dan Aliff Ayman pada 2009, yang mengesahkan mereka sebagai pemilik Cutting Edge Industries.

Dalam SD tersebut, mereka memberi kebenaran kepada CAD Singapura untuk mendapat perintah bagi memindahkan dana daripada Cutting Edge Industries kepada akaun seperti yang ditentukan 1MDB.

1MDB ketika itu cuba mendapatkan semula dananya yang diseleweng.

Terdahulu, Zeti menyifatkan dakwaan terhadap dirinya dan keluarganya adalah palsu dan berniat jahat, dan mereka tidak pernah menerima dana 1MDB.

Bagaimanapun, Zeti tidak memberi ulasan lanjut kerana dia mungkin dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak yang masih berlangsung.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS