Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokongan 2 bekas MP PKR kukuhkan kerajaan PN - Muhyiddin
Diterbitkan:  Feb 28, 2021 3:20 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli parlimen PKR yang membuat keputusan meninggalkan parti itu bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Muhyiddin, dua ahli parlimen berkenaan ialah Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

"Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara," katanya yang juga presiden Bersatu dalam satu kenyataan.

Muhyiddin berkata, akuan bersumpah itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.

Terdahulu, Sng dilaporkan meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak serta kedudukan lain dalam parti itu. 

Langkah yang sama dikatakan turut diambil oleh Steven Choong.

Perkara itu juga dimaklumkan oleh Hizwan Ahmad, yang merupakan setiausaha politik kepada bekas ahli parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin.

"Selepas 1 tahun menilai prestasi Kerajaan, hari ini dua ahli parlimen PKR buat keputusan sokong YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Perikatan Nasional.

"Tahniah Julau dan Tebrau. Ke arah kerajaan stabil dan negara yang selamat. Sah, Perikatan Nasional untuk semua, untuk rakyat Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, sama ada Sng dan Choong, kedua-duanya gagal dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan komen.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata wujud langkah-langkah terancang yang sedang diusaha pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat pembangkang termasuk dari kalangan PKR.

"Ini sedang dilakukan dengan pendekatan ugutan dan umpan habuan sama ada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC," katanya.

Menurut Saifuddin langkah ini berlaku ketika kerajaan sedia ada sudah hilang sokongan majoriti di parlimen dan sidang parlimen boleh diadakan sewaktu darurat berkuatkuasa.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah pada 24 Feb bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.


Lihat Komen
ADS