Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Bila PAS nak keluar gua berdemo di Padang Merbok?

ULASAN | Keputusan Mahkaman Persekutuan bahawa kesalahan liwat di bawah seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini boleh memberi kesan dan signifikan besar bahawa Enakmen Hudud (Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan) juga tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mahkamah Persekutuan, kesalahan liwat adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan dan apabila ianya terletak di bawah persekutuan, maka negeri tidak boleh mengubal undang-undang yang sama walaupun ada dalam hukum syara’.

Inilah yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi Senarai Persekutuan dan Senarai Negeri.

Begitulah sebaliknya, peraturan nikah dan cerai dan harta pusaka yang terletak di bawah negeri, maka Persekutuan tidak boleh mengubalnya.

Sebab itu, Seksyen 298A Kanun Keseksaan juga diputuskan oleh Mahkamah Agong sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana perkara agama terletak di bawah negeri.

Mahkamah Persekutuan merujuk kes terdahulu (Sulaiman Takrib vs Kerajaan Negeri Terengganu) yang menggariskan antara lain bidangkuasa negeri mengubal undang-undang jenayah syariah hendaklah tidak termasuk bidangkuasa Senarai Persekutuan.

Oleh kerana, Senarai Persekutuan mengandungi undang-undang jenayah di mana Kanun Keseksaan (Penal Code) sudah ada kesalahan liwat (seksyen 377A), maka negeri tidak boleh mengubal kesalahan liwat sebagai jenayah syariah.

Ini adalah selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan intipati undang-undang yang seragam bagi semua rakyat kerana tiada diskrimasi atas premis agama.

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah hujah yang sama oleh pakar perlembagaan dan pengamal undang-undang selama ini berkaitan Enakmen Hudud dan RUU355. Tetapi natijahnya, ada yang dimaki dan dikafirkan.

RUU355 ditunggang bagi mencapai serakah politik atas nama perkauman dan agama sehingga puluhan ribu penyokong dikerahkan ke Padang Merbok.

Sepatutnya, PAS lebih matang untuk menerima sesuatu hujah atas ilmu dan fakta dan bukannya emosi dan semangat semata-mata. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan walaupun bertentangan dengan perjuangan PAS.

Malangnya, PAS menyepi terus sekarang, entah bila nak keluar dari gua dan berhimpun di Padang Merbok.


FAIZ FADZIL seorang peguam, AJK nasional Amanah dan Adun Permatang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS