Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: Muhyiddin ugut nak buang Umno, tunggu apa lagi?
Diterbitkan:  Mar 4, 2021 8:37 PM
Dikemaskini: 2:51 PM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa ahli dan pemimpin Umno segera meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, menurut Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah "mengugut" untuk "membuang" pemimpin dan ahli Umno.

Tengku Razaleigh bagaimanapun tidak menyatakan secara spesifik tindakan "mengugut" yang dimaksudkannya.

"Nasihat ikhlas saya kepada semua ahli-ahli Umno yang berada dalam kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Muhyiddin dah ugut hendak buang kita.

"Tunggu apa lagi, berhenti segera dan jaga maruah diri dan maruah parti Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan pemimpin veteran Umno itu hadir ketika Bersatu malam ini bermesyuarat untuk memutuskan mengenai hubungan mereka dengan parti komponen BN berkenaan.

Ini selepas Umno telah menghantar surat kepada Muhyiddin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Surat bertarikh 26 Feb berkenaan juga menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya sehingga pembubaran Parlimen.

Ku Li dalam kenyataan sama turut mencadangkan agar Majlis Tertinggi Umno segera mesyuarat dan meminda keputusan agar tidak perlu menunggu parlimen dibubar untuk meninggalkan PN.

"Silap perhitungan? Putus hubungan dan keluar kerajaan PN sekarang. Berhenti main wayang kulit! Tak ada faedah dan tak ada kesan," katanya.

Zahid rayu Agong titah sidang parlimen

Sementara itu, Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam ini mengeluarkan kenyataan media merayu kepada Agong untuk menitahkan parlimen bersidang segera.

Zahid berkata parlimen perlu bersidang, antara lain untuk membentangkan "keperluan kestabilan politik" dan "keperluan perpaduan di antara bangsa Melayu dan umat Islam bersama-sama pelbagai keturunan dalam mengemudi negara".

Dalam kenyataan sama juga, Zahid memohon maaf kepada Agong berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Zahid merujuk kenyataan menteri undang-undang itu yang menjelaskan sebab parlimen tidak boleh bersidang.

"BN sentiasa berpegang bahawa nasihat perdana menteri kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak Covid-19 melalui pengisytiharan Darurat serta Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 perlu memastikan hak suara rakyat di parlimen tidak diabaikan.

"BN menanggapi kenyataan Takiyuddin semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan Agong supaya menidakkan sidang parlimen semasa tempoh darurat berkuat kuasa adalah seolah mencabar pandangan dan titah Duli Tuanku dan menghina institusi Raja Berperlembagaan.

"...Dalam perkara ini, BN memohon ampun kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan menteri tersebut menyinggung hati Duli Tuanku," katanya.

Terdahulu, Takiyuddin berkata bahawa sidang akan ditangguh dalam tempoh darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini.

Katanya, sebahagian besar anggota parlimen merupakan kumpulan berisiko dijangkiti Covid-19 dan ini merupakan antara sebab parlimen ditangguhkan.

Menurutnya, daripada 220 ahli parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 orang berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

Bagaimanapun, PH menegaskan bahawa berdasarkan bukti dan data, sepanjang 55 hari parlimen bersidang sepanjang tahun 2020, tiada seorang ahli parlimen pun yang dijangkiti Covid-19 di parlimen.

Lihat Komen
ADS