Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee minta masyarakat Cina beri MCA peluang sekali lagi
Diterbitkan:  Mar 7, 2021 12:15 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung MCA ke-67 yang diadakan secara dalam talian, Wee Ka Siong meminta masyarakat Cina di Malaysia memberi peluang kepada partinya sekali lagi.

Antara lain, kata presiden MCA itu, ia bagi memastikan masyarakat Cina tidak terpinggir dari pembangunan.

"Saya berharap masyarakat Cina dapat memberikan peluang kepada kita. Peranan kerajaan pemerintah dan pembangkang perlulah seimbang agar pembangunan negara dapat berjalan dengan baik.

"Berilah peluang kepada MCA agar kami memiliki lebih suara di Parlimen dan juga di Dewan Undangan Negeri, seterusnya dapat menangani isu-isu rakyat secara holistik.

"Ia juga bagi memastikan masyarakat Cina tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara," katanya.

Wee berkata, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, pertumbuhan ekonomi terbantut dan banyak projek mega yang dapat menfaedahkan rakyat turut dihentikan.

Pada masa sama, katanya, para pemimpin PH pula sibuk menjual aset-aset negara dan sering menuding jari kepada kerajaan BN terdahulu.

"Mereka langsung tiada perancangan yang baik untuk membangunkan ekonomi negara. Mereka bukan sahaja mencetuskan kekusutan, tetapi turut merosakkan sistem dan tatacara sedia ada.

"Setiap keputusan dan tindakan mereka sering berubah mengikut kepentingan sendiri," katanya.

Wee mendakwa, keputusan dan langkah yang diambil PH ketika menjadi kerajaan menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

"Kita boleh jadikan kemenangan kerajaan PH pada PRU-14 yang lalu sebagai pengajaran. Hanya minoriti orang Melayu yang menyokong mereka.

"Walaupun parti DAP memenangi bilangan kerusi terbanyak dalam sejarah, namun mereka masih gagal menunjukkan prestasi yang baik, sebaliknya satu persatu kegagalan mereka didedahkan kerana DAP sememangya tidak disenangi oleh pengundi Melayu.

"Mereka bukan sahaja gagal memenuhi manifesto pilihan raya yang ditaburkan kepada rakyat, tetapi juga terus mencari alasan untuk menutup kegagalan sendiri. PH gagal memenuhi janji ‘bulan bintang’ mereka kepada rakyat setelah berjaya menjadi kerajaan.

"Oleh itu, kita perlu jadikan ia sebagai pengajaran dan iktibar supaya kita tidak mengulangi kesalahan yang sama," katanya.

MCA perlu dapatkan sokongan semua kaum

Wee mengambil alih pucuk pimpinan MCA pada 2018 selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU) tahun itu.

MCA, yang meraikan 67 tahun penubuhannya sejak 27 Februari 1949, kini hanya tinggal dua kerusi parlimen dari berbanding 31 kerusi pada (PRU) 2004.

Wee mengingatkan ahli MCA bahawa mereka mesti mendapat sokongan daripada seluruh rakyat dan bukan hanya kumpulan etnik tertentu.

"Sejak penubuhannya, walaupun MCA adalah parti kaum Cina, tetapi pendekatan kita adalah untuk memperjuangkan hak semua kaum di negara ini.

"Pada PRU-15 akan datang, ia bukan lagi pertembungan satu lawan satu tetapi kita perlu bijak mencari rakan seperjuangan yang senada dan turut menghargai nilai-nilai kepelbagaian yang kami perjuangkan selama ini," kata Wee yang telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Ayer Hitam sejak 2004.

Menteri Pengangkutan itu mengatakan bahawa pada PRU ke-15 akan datang, MCA akan terus bersama BN untuk memastikan ia meneruskan pendekatan inklusif.

"MCA akan terus bersama-sama dengan BN untuk memastikan BN memperoleh kemenangan.

"Jika melihat adanya keperluan, kita juga akan bersama parti-parti lain untuk membina kekuatan dalam membawa semangat kepelbagaian dan kesederhanaan demi memelihara negara," katanya.

Lihat Komen
ADS