Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
China sedia terlibat dengan semua pihak redakan ketegangan di Myanmar

GLOBAL | China bersedia terlibat dengan "semua pihak" untuk meredakan krisis di negara jirannya, Myanmar dan tidak berpihak, kata diplomat tertinggi kerajaan China, Kaunselor Negara dan Menteri Luar Wang Yi, pada hari Ahad.

Beijing berkata rampasan kuasa tentera di Myanmar pada bulan lalu, "sama sekali tidak seperti yang ingin dilihat oleh China" dan telah menolak khabar angin media sosial mengenai pembabitan China dalam rampasan kuasa itu sebagai tidak masuk akal.

"China ... bersedia berhubung dan berkomunikasi dengan semua pihak atas dasar menghormati kedaulatan Myanmar dan kehendak rakyatnya, supaya dapat memainkan peranan konstruktif dalam meredakan ketegangan," kata Wang pada sidang media di luar sidang perhimpunan tahunan parlimen China, NPC.

Walaupun negara-negara Barat mengecam keras kudeta tentera pada 1 Februari, China lebih berhati-hati, menekankan kepentingan kestabilan.

Pun begitu, China tetap bersetuju dengan kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pembebasan pemimpin yang diundi Aung San Suu Kyi dan tahanan lain serta menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan darurat.

"China menjalinkan persahabatan jangka panjang dengan semua pihak dan kumpulan di Myanmar, termasuk Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD), serta persahabatan dengan China selalu menjadi konsensus semua sektor di Myanmar," kata Wang.

NLD parti yang dianggotai Suu Kyi. Kemenangan NLD pada pilihan raya umum November lalu telah diabaikan oleh junta tentera.

"Walau apapun perubahan situasi di Myanmar, tekad China untuk mempromosikan hubungan China-Myanmar tidak akan goyah, dan hala tuju China untuk mempromosikan kerjasama mesra China-Myanmar juga tidak akan berubah," kata Wang.

Pada Sabtu, seorang pelobi Israel-Kanada yang dibayar oleh junta Myanmar memberitahu Reuters bahawa para jeneral ingin meninggalkan politik selepas rampasan kuasa mereka dan berusaha memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat serta menjauhkan Myanmar dari China.

Beberapa demonstrasi membantah rampasan kuasa, yang telah menarik ratusan ribu orang ke jalanan, telah berlaku di luar kedutaan besar China di Yangon, dengan para penunjuk perasaan menuduh Beijing menyokong junta.

Beijing mengatakan pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai rampasan kuasa itu.

Secara tradisinya China dilihat dengan 'kecurigaan' mengenai hubungannya dengan Myanmar.

Ini kerana China mempunyai kepentingan ekonomi dan strategi yang signifikan serta sering menyokong pendirian Myanmar terhadap kritikan Barat.

- Reuters (Laporan oleh Gabriel Crossley; tulisan oleh Tony Munroe dan Ben Blanchard; suntingan William Mallard)

Lihat Komen
ADS